Sunday, February 8, 2015

PELAN SUARA HATI JOHOR



Assalamualaikum dan salam muafakat Johor kepada semua pembaca. Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan Negeri Johor pimpinan YAB Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang telah membawa Johor ke satu tahap yang lebih baik menerusi kesinambungan pemimpin terdahulu. Usaha mewujudkan satu program yang mendekati rakyat iaitu Pelan Suara Hati Johor adalah usaha yang dinanti-nantikan oleh rakyat jelata. Ini memperlihatkan kerajaan yang diterajui oleh BN adalah sebuah kerajaan yang prihatin dan mendekati rakyat. Konsep merakyatkan kerajaan Johor telah menampakkan bahawa kerajaan tidak bertindak sebagai aktor dominan malah buah fikiran setiap rakyat yang diluahkan menerusi media sosial turut diambilkira dalam menjadikan sebuah negeri yang berjaya, selamat, harmoni, sejahtera dan mempunyai wawasan untuk dicapai.

Transformasi yang dilakukan oleh kerajaan Johor adalah bersesuaian dengan era dan perubahan yang berlaku. Ini secara tidak langsung menjadikan Johor sebuah kerajaan yang dinamik dan berjaya. Usaha kerajaan dalam membina rumah mampu milik, menambahkan jumlah rezab tanah Melayu yang berganda dan membaiki segala kemudahan awam boleh dianggap sebagai usaha yang menepati sasaran dan mendekati rakyat. Ini kerana rakyat hanya mahukan kehidupan yang sejahtera dan selamat bersesuaian dengan nama Johor itu sendiri.

Syabas dan tahniah kepada kerajaan Johor yang tidak berhenti menjuarai isi hati rakyat dan dapat meminimakan permasalahan rakyat. Saya juga berdoa agar pemimpin Johor, pentadbir Johor dan rakyat Johor sentiasa beristiqamah dalam mencari kebahagian dan kejayaan hidup bagi mewariskan kepada generasi seterusnya.

Sekian terima kasih.

PERLANTIKAN SEBAGAI KETUA PENERANGAN UMNO BAHAGIAN BAKRI

As salam dan salam sejahtera kepada semua rakan-rakan. Pertamanya saya ingin memanjatkan rasa syukur kepada Allah SWT atas limpah dan kasih Nya kita dapat meneruskan kehidupan di bumi yang bertuah ini. Semoga negara dan pemimpin kita akan dirahmati Allah dan kita semua berada dalam keadaan yang selamat.

Pada 13 Mei 2014 saya telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bakri bagi sesi 2013 -2016. Perlantikan ini satu penghormatan dan kepercayaan yang begitu tinggi kepada diri saya menerusi Tn Hj Hassan bin Hj Johari selaku Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bakri. Sebagai Ketua Penerangan yang baru dalam usia 36 tahun, ia dianggap sebagai usia yang muda dalam menggerakkan aktiviti penerangan di peringkat Bahagian. Dengan beberapa pengalaman yang ada iaitu pernah menjadi Pegawai Khas Datuk Dr. Haris Salleh (Ketua UMNO Bakri sesi 2001 - 2004), Pegawai Khas Datuk Abdullah bin Md. Ali (Ketua UMNO Bakri sesi 2004 - 2008), Setiausaha Pemuda UMNO Bakri sesi 2004 - 2008, AJK Pemuda UMNO Bakri sesi 2008 - 2013, dan AJK Bahagian lantikan Dato' Seri Saipolbahari bin Hj Suib pada 2013 akan digunakan bagi memperkukuhkan parti UMNO di Bahagian Bakri.

Dengan menduduki jawatan sebagai Ketua Penerangan UMNO Bakri ia bukanlah suatu perkara yang muda. Ini kerana ia perlu bertindak untuk menjaga 128 cawangan dan kawasan yang dimenangi parti DAP bagi Parlimen Bakri. Oleh itu saya berharap kepada semua pimpinan dan jawatankuasa Bahagian, Wanita, Pemuda, Puteri, PDM dan Cawangan agar dapat bersatu hati dalam menawan semula kerusi yang tertewas pada PRU 12 dan PRU 13. Saya juga mengharapkan teguran dan nasihat membina dalam meneruskan perjuangan ini yang merupakan amanah kepada generasi selepas saya.

Terima kasih kepada Tn  Hj Hassan Johari atas perlantikan ini dan kerjasama daripada Peneragan Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor dan Datuk Ahmad bin Maslan yang merupakan Ketua Penerangan UMNO Malaysia.

Salam perjuangan dan salam muafakat Johor.

Tuesday, March 18, 2014

PERANAN AKTOR BUKAN NEGARA JUGA PENTING DALAM PROSES PEMBENTUKAN DASAR LUAR MALAYSIA

Hari ini 18.3.14 saya akan bentangkan proposal PHD saya di Dewan Seminar Kolej Undang-Undang, Kerajaan Dan Antarabangsa UUM jam 3.00 petang. Tajuk tesis PHD saya adalah Neoklasikal Realisme Dalam Proses Pembentukan Dasar Luar Malaysia Terhadap Amerika Syarikat.

Di dalam kajian ini, saya telah menemui kelompangan atau gap yang berlaku dalam bidang hubungan antarabangsa di negara Malaysia. Dengan menggunakan teori NCR yang dipelopori oleh William Wohlforth (1993), Thomas Christensen (1996), Alastair J.H. Murray (1997), Randal Schweller (1998) dan Fareed Zakaria (1998) maka saya melihat aktor bukan negara tidak dikaji secara teratur dan sistematik. Kemunculan teori realisme dalam bidang antarabangsa yang merupakan teori perdana telah membawa kepada kemunculan teori neorelisme dan seterusnya neoklasikal realisme.

Mengapa saya memilih tajuk ini ? Ini kerana masyarakat melihat proses dasar luar hanya ditentukan oleh kerajaan semata seperti Kementerian Luar dan Wisma Putra yang merupakan aktor negara. Namun saya menghujahkan sebaliknya iaitu aktor bukan negara juga berperanan dalam proses pembentukan dasar luar Malaysia. Saya memilik 3 elemen penting yang merupakan Intervening Variable iaitu parti, NGO dan individu berpengaruh. Bagi meluaskan kajian ini makan saya memilih 3 parti utama Melayu di negara iaitu UMNO, PAS dan PKR. Mengapa saya memilih 3 parti sahaja ? Ini kerana hanya parti Melayu sahaja yang dibenarkan memimpin Malaysia sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Bagi NGO yang saya pilih adalah ABIM dan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu yang aktif dalam isu antarabangsa. Manakala individu berpengaruh saya akan menemubual Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Syed Hamid Albar yang merupakan individu yang tidak mempunyai jawatan dalam kerajaan namun mempunyai pandangan yang boleh memberikan kesan ke atas proses pembentukan dasar luar Malaysia. Mengapa saya memilih Amerika Syarikat ? Ini kerana ia merupakan kuasa besar yang mana Malaysia masih memerlukan Amerika Syarikat dalam perlbagai bidang. 

Sepertimana kajian sebelum ini di peringkat Master yang saya lakukan di UKM, kali ini saya akan mengembangkan semula kajian saya. Di peringkat Master tajuk tesis saya adalah Politik Dalaman Dan Dasar Luar Malaysia Terhadap Amerika Syarikat : Perspektif Elit UMNO, PAS dan PKR yang telah diselia oleh Prof. Madya Dr. Kuik Cheng Chwee yang kini berada di Oxford UK dan US bagi melengkapkan Post Doc. Di peringkat PHD ini, saya akan diselia oleh Prof. Dr. Kamarulnizam Abdullah yang merupakan ahli Majlis Profesor Negara dalam bidang hubungan antarabangsa. Semoga kajian ini akan menambahkan lagi ilmu pengetahuan di negara kita dalam bidang hubungan antarabangsa dan menjadi rujukan pada rakyat di negara ini.

Monday, March 17, 2014

PERLUCUTAN JAWATAN TIDAK MEMATAHKAN SEMANGAT PERJUANGAN

Salam takzim buat anda semuanya... Isu berkaitan penggantungan YB. Dato' Seri Hj. Saipobahari sebagai Ketua UMNO Bahagian Bakri telah membawa kepada perlucutan jawatan saya sebagai AJK UMNO Bahagian Bakri yang dilantik. Perlucutan ini diambil tidak sampai 2 hari sewaktu perlantikan Tn. Hj. Hassan Johari selaku Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bakri untuk memangku jawatan Ketua UMNO Bahagian Bakri. Ini merupakan pengalaman yang cukup berharga bagi diri saya yang baru sahaja dilantik untuk memegang jawatan tersebut.

Perlucutan ini tidak membawa kesan yang buruk pada diri saya. Ini kerana saya yakin kepada prinspi perjuangan yang ikhlas dan baik sepertimana yang saya tekankan kepada rakan-rakan seperjuangan. Kita kena lihat dari luar dalam membuat penelitian yang lebih adil. Kita kena rasional dan tenang dan berbalik kepada prinsip perjuangan yang baik. Saya menganggap perlucutan ini banyak hikmah bagi diri saya. Paling penting kita dapat belajar selok belok politik dan pengalaman ini mematangkan diri kita supaya kita akan bertindak lebih baik pada masa mendatang. Saya kira dengan perlucutan ini juga ia akan memudahkan kerja-kerja dan urusan pentadbiran kepimpinan yang ada. Sememangnya saya tidak mempunyai masaalah dengan Pemangku yang ada, malah prinsip perjuangan asas iaitu "akur siapa ketua", "menghormati pemimpin yang lebih lama" dan menjunjung asas perlembagaan parti UMNO telah menjadi penyuntik semangat bagi diri saya. Dengan keadaan seperti ini juga, penumpuan saya untuk menumpukan pengajian di peringkat PHD akan lebih terurus.

Di dalam kesempatan ini juga, saya menyeru kepada semua ahli UMNO di Bahagian Bakri, hendaklah bersatu padu, pepatah Melayu "biduk berlalu kiambang bertaut" mestilah disematkan dalam diri. Kita sebagai satu kumpulan mestilah berpegang pada satu ketua dan kita sebagai ahli berhak menasihati jika kepimpinan itu tidak betul pada tapak sebenarnya. Oleh itu, saya mengharapkan rakan-rakan dalam parti, sama-samalah kita bekerjasama dalam memenangi PRU 14 pada masa akan datang. Jika kita percaya parti UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu, kita tanamkan sikap berbaik sangka, bersatu padu, tolong menolong dan ikhlas dalam perjuangan.

Sekian terima kasih dan salam takzim dari saya.....UUM Kedah...

Friday, January 17, 2014

Perlantikan Sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bakri

Pertamanya marilah kita memanjatkan rasa syukur kepada Allah SWT atas izin-Nya kita masih lagi dapat melakukan kerja-kerja seharian dengan sebaiknya. Semoga apa yang kita lakukan mendapat keberkatan dan kebaikan dari-Nya untuk manfaat perjuangan agama, bangsa dan negara.

Pada tarikh 16 Januari 2014 jam 8.30 malam saya telah mengangkat sumpah bersama barisan AJK UMNO Bahagian Bakri sesi 2013-2016. Ini merupakan kali pertama perlantikan yang saya terima daripada Ketua UMNO Bahagian Bakri iaitu YB. Dato' Seri Hj. Saipolbahari bin Hj. Suib. Atas dasar perlantikan ini saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Ketua UMNO Bahagian Bakri yang telah memilih saya untuk sama-sama berjuang dalam agenda UMNO Bahagian Bakri iaitu memastikan kemenangan Barisan Nasional pada PRU 14.

Bukanlah satu perkara yang mudah dengan amanah yang diberikan, ini kerana saya merupakan AJK yang paling muda berbanding dengan pimpinan yang lain dan tanggungjawab saya dalam menamatkan pengajian di peringkat Phd. Oleh itu saya memohon petunjuk daripada Allah SWT agar mempermudahkan urusan yang saya lalui dan memohon jasabaik dari semua rakan-rakan untuk bersama-sama berganding bahu untuk kebaikan bersama.

Terima kasih atas sokongan dan bantuan yang diberikan. Jazakumullah.

Wednesday, November 27, 2013

#MuktamarPAS : Konsert METAL Sesat di Karnival PAS for ALL!!!



Sedih apabila PAS turut melaksanakan konsert metal. Seharusnya PAS akan lebih menjaga dirinya apabila ia melaksanakan tahalul siyasi dgn DAP dan PKR. Semoga PAS akan menjadi lebih baik.

Wednesday, November 20, 2013

Pengalaman menunggang motosikal seorang diri ke Bangkok Thailand (16-20 Nov 2013)



Ini adalah pengalaman saya ke Bangkok yang boleh saya kongsi bersama. Saya pergi pada 16 November dan pulang kembali ke Malaysia pada 20 November 2013. Saya menggunakan motosikal jenis Yamaha XJ6. Sebenarnya motor apa sahaja takde masalah asalkan ada keyakinan. Jadi saya kongsi pengalaman saya untuk anda apabila bergerak seorang diri ke Bangkok :
1.       Niatkan perjalanan yang dilakukan adalah ibadah bagi mendapatkan keredhaan Allah
2.       Pastikan motosikal telah di servis dan keadaan motosikal yang baik
3.       Elakkan bergerak malam
4.       Bawa passport
5.       Bawa salinan geran motosikal
6.       Beli insurans masuk Thailand (RM 16.00 untuk 9 hari) beli di Changlun, Kedah
7.       Ambil borang imigresen
8.       Bawa peralatan membuka tayar (cacing/penebuk tayar) tayar tubless lagi baik
9.       Bawa makanan segera, roti, biskut dan minuman 3 in 1 secukupnya (bagusnya milo)
10.   Pastikan motor ada side box dan elakkan beg sandang dibelakang badan (penat)
11.   Ada GPS / Peta Thailand
12.   Bawa pen dan buku nota untuk catatan sendiri (penting)
13.   Spray rantai 1 botol
14.   Ubat penting (panadol, cirit birit)
15.   Kompas untuk arah kiblat
16.   Sehelai seluar jeans, sehelai kain pelekat dan 2 helai t-shirt
17.   Duit yang telah ditukarkan paling tidak bawa RM 1,500.00 untuk 4 hari

Sempadan Thailand hanya dibuka jam 7.00 pagi (Malaysia) = 6.00 pagi (Thailand) dan akan ditutup kembali jam 12.00 mlm (Malaysia) = 11.00 mlm (Thailand)

Cara nak masuk
1.       Pastikan isi minyak motosikal penuh sebab minyak Thailand mahal. Ketika ini minyak RON 95 Malaysia ialah RM 2.10 seliter manakala Thailand RM 3.93 seliter, hamper 2 kali ganda
2.       Lepaskan dulu sempadan Malaysia untuk serahkan passport bagi tujuan pengesahan keluar
3.       Masuk Thailand motor parking tepi di pintu masuk
4.       Pergi kaunter antarabangsa dan serahkan passport Malaysia dan borang imigresen
5.       Pergi kaunter serahkan geran motor dan insurans serta bayaran RM 1.00
6.       Jangan kelam kabut dan tenang, jika ada masalah boleh bertanya di kaunter dalam Bahasa Melayu atau Inggeris

Selepas keluar singgah 7 eleven di Pekan Danok untuk beli
1.       Peta besar Thailand
2.       Beli sim card Thailand (call / internet) jika perlu, katanya call dari Thailand lebih murah
3.       Peta Bandar utama Thailand seperti Bangkok, Hatyai, Phuket, Krabi, Kanchanaburi dan sebagainya
4.       Mulakan perjalanan masuk, dengan penuh kesyukuran atas nikmat Allah
5.       Pam minyak jangan risau di sana ada banyak pam minyak termasuk Shell, Caltex, Esso dan Petronas (hanya di Bangkok)

Laluan masuk
1.       Pekan Danok (ini tempat org Malaysia berhibur, tengok-tengok cari pengalaman takpe, takyah singgah) beli sedikit makan (0 km) jam 5 petang
2.       Jumpa Sadao iaitu Daerah Selatan Thailand (23 km) jam 5.30 ptg
3.       Simpang 3 Hatyai. Jika tegak masuk Hatyai belok ke kiri untuk ke Krabi, Phuket, Trang, Bangkok (65 km) jam 6.15 ptg
4.       Saya menuju ke Krabi, ikut Jalan No. 4. Kemudian terus ke Phattalung (140 km) jam 8.15 mlm
5.       Selepas tu ke Trang (70 km) jam 9.00 mlm
6.       Sampai ke Krabi (190 km) jam 11 mlm. Di Krabi ada banyak pantai yang boleh dilihat, saya tak pergi Pantai sebab dah malam, hanya tidur di Hotel satu malam RM 60.00. Esok pagi sarapan di Kedai sebelah Masjid sebelum Bandar Krabi.
7.       Sampai ke Phuket (200 km) jam 1.00 ptg. Solat di Masjid jalan menuju ke Patong Beach. Sedekah duit utk keselamatan diri. Di sini banyak tahfiz dan makanan Islam. Saya ronda  di Pulau Phuket termasuk Karon Beach, pusing ke Chalong, Thalang dan berhenti di jambatan Pulau Phuket. Ambil gambar dan di tepi jalan ada gerai ikan masin
8.       Kemudian bergerak ke Ranong (400 km), ikut jalan no 4. Di sini akan melalui Takua Pa (pantai), Khura Buri, Suksamran, Kaper dan Ranong. Kawasan ini banyak muslim dan bila ada masjid boleh berhenti sebab di situ ada warung Islam. Kawasan ini banyak kelapa sawit dan agak sunyi. Sampai di Ranong, Bandar Ranong di sebelah kiri, tidak berada di Jalan besar. Boleh tidur di Farm Resort.  Makanan Islam di sini sukar cari kalau takde pengalaman, malamtu saya makan roti  dengan buah berangan.
9.       Esok pagi sarapan di Ranong Port. Ada kedai muslim dan di sini juga sempadan Thailan Myanmar. Kena naik bot. (Next time boleh pergi)
10.   Bergerak ke Chumporn (200 km) melalui Kra Buri. Berhenti seketika kerana boleh lihat sempadan 2 negara iaitu Myanmar dan Thailand. Nanti Nampak bot berulang alik menyeberang sempadan Negara. Seperti di Sungai Golok atau Munduk di Rantau Panjang. Di Chumporn makanan Islam sukar cari.
11.   Kemudian bergerak ke Prachuap Khiri Khan (300 km). Boleh bawa laju, ketika itu saya bawa 140 kmh. Hati-hati bila melalui simpang sebab ada kenderaan u-turn, lembu di tepi jalan dan kenderaan berat.
12.   Kemudian bergerak Bangkok (300 km) melalui Kui Buri, Pran Buri dan Phetchaburi. Berhenti di  simpang Pak Tho untuk belak ke kanan. Jika terus ke Rachaburi ia akan bertambah jauh. Anda akan melalui samut Songkhram, Samut Sakhon dan seterusnya ke Bangkok. Jalan raya mereka besar iaitu 3 lorong bermula di Petchaburi.
13.   Bangkok bandarnya memang padat dan sesak. Bawa motosikal yang ada side box kena hati-hati sebab boleh bergesel dengan kenderaan lain. Di sini memerlukan GPS atau peta Bandar Bangkok. Kalau nak cari makan boleh ke medan selera Arab iaitu Jalan Sukhumvit 3. Bila sampai di Bangkok jangan lupa ke Masjid Bangkok untuk derma di sana dan solat syukur. Berhibur dan juga beramal.

Tips untuk menuju ke destinasi
1.       Tidak semua orang Thai boleh berbahasa Inggeris. Mereka hanya faham menerusi Isyarat. Jika anda mahu makan tunjukk isyarat hendak makan dan sebut perkataan muslim.
2.       Minta orang Thai lukiskan peta destinasi yang hendak dituju
3.       Jika anda mahu ke desntinasi tertentu,memang sukar dan anda kepenatan sendiri. Berhenti di mana-mana parking yang ada lelaki memakai vest warna merah. Ia adalah teksi motosikal yang akan bergerak ke mana-mana. Bayar kepada mereka Rm 2.00 atau 20 baht dan minta dia bawakkan ke mana anda mahu pergi. Tips ini adalah untuk pengguna motosikal dan pejalan kaki.
4.       Anda tidak akan sesat, jika anda amati betul beberapa perkara iaitu :
a.       Bawa bisnes kad hotel anda, passport boleh tinggal di hotel atau membawanya
b.      Minta nasihat pihak kaunter hotel, lazimnya dia boleh berkomunikasi bahasa Inggeris dan menunjukkan tempat yang anda hendak pergi
c.       Tengok sekeling bangunan anda yang tertinggi sebagai symbol anda
d.      Hafal nama jalan besar hotel anda
e.      Boleh ikut laluan MRT
f.        Baca peta betul-betul
g.       Minta bantuan teksi motosikal sebab dia lebih tepat daripada GPS.

Nasihat dari saya
1.       Bawa motor jangan ikut orang lain, ikut kemampuan diri sendiri
2.       Pastikan rehat yang secukupnya termasuk tidur. Jika penat berhenti di mana-mana 7 eleven
3.       Jangan menghina atau mentertawakan Negara, raja, pakaian, polisi dan lambang mereka.
4.       Banyakkan tolak ansur dan sentiasa senyum
5.       Jika ada sesiapa tahan anda kalau anda yakin nak bantu anda boleh bantu. Ikut gerak hati masing-masing.
6.       Di atas motor banyakkan berzikir, hafal ayat-ayat lazim dan sentiasa menginsafi diri
7.       Nampak masjid datangkan perasaan syukur teramat sangat pada Allah sebab anda lebih banyak berjumpa tokong siam
8.       Sebenarnya kita di Malaysia lebih beruntung jika dibandingkan Thailand sebab pekerja pam minyak mereka hanya RM 400.00 sebulan sedangkan kita telah masuk gaji minima RM 900.00 sebulan
9.       Jika ke Thailand anda boleh beradab atas jalan, apatah lagi di Malaysia. Saya sayang anda semua sebab kita satu keluarga yang besar. Jaga nama baik Malaysia dan maruah diri anda.

Maaf jika catatan ini kurang tepat bagi mereka yang lebih arif keluar masuk, saya catat pada pengalaman saya yang pertama kali. Catatan saya hilang setelah hp Samsung Note saya crack di Prachuap Khiri Khan sebab motor saya terhentak di dalam lubang yang dalam ketika hujan .

Ketika ini saya sedang mengikuti pengajian peringkat Phd di UUM Sintok Kedah (International Study) semester 1. Kesempatan ini saya ambil. Ini kerana saya berulang-alik setiap minggu dari Muar ke UUM Kedah.