Monday, March 17, 2014

PERLUCUTAN JAWATAN TIDAK MEMATAHKAN SEMANGAT PERJUANGAN

Salam takzim buat anda semuanya... Isu berkaitan penggantungan YB. Dato' Seri Hj. Saipobahari sebagai Ketua UMNO Bahagian Bakri telah membawa kepada perlucutan jawatan saya sebagai AJK UMNO Bahagian Bakri yang dilantik. Perlucutan ini diambil tidak sampai 2 hari sewaktu perlantikan Tn. Hj. Hassan Johari selaku Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bakri untuk memangku jawatan Ketua UMNO Bahagian Bakri. Ini merupakan pengalaman yang cukup berharga bagi diri saya yang baru sahaja dilantik untuk memegang jawatan tersebut.

Perlucutan ini tidak membawa kesan yang buruk pada diri saya. Ini kerana saya yakin kepada prinspi perjuangan yang ikhlas dan baik sepertimana yang saya tekankan kepada rakan-rakan seperjuangan. Kita kena lihat dari luar dalam membuat penelitian yang lebih adil. Kita kena rasional dan tenang dan berbalik kepada prinsip perjuangan yang baik. Saya menganggap perlucutan ini banyak hikmah bagi diri saya. Paling penting kita dapat belajar selok belok politik dan pengalaman ini mematangkan diri kita supaya kita akan bertindak lebih baik pada masa mendatang. Saya kira dengan perlucutan ini juga ia akan memudahkan kerja-kerja dan urusan pentadbiran kepimpinan yang ada. Sememangnya saya tidak mempunyai masaalah dengan Pemangku yang ada, malah prinsip perjuangan asas iaitu "akur siapa ketua", "menghormati pemimpin yang lebih lama" dan menjunjung asas perlembagaan parti UMNO telah menjadi penyuntik semangat bagi diri saya. Dengan keadaan seperti ini juga, penumpuan saya untuk menumpukan pengajian di peringkat PHD akan lebih terurus.

Di dalam kesempatan ini juga, saya menyeru kepada semua ahli UMNO di Bahagian Bakri, hendaklah bersatu padu, pepatah Melayu "biduk berlalu kiambang bertaut" mestilah disematkan dalam diri. Kita sebagai satu kumpulan mestilah berpegang pada satu ketua dan kita sebagai ahli berhak menasihati jika kepimpinan itu tidak betul pada tapak sebenarnya. Oleh itu, saya mengharapkan rakan-rakan dalam parti, sama-samalah kita bekerjasama dalam memenangi PRU 14 pada masa akan datang. Jika kita percaya parti UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu, kita tanamkan sikap berbaik sangka, bersatu padu, tolong menolong dan ikhlas dalam perjuangan.

Sekian terima kasih dan salam takzim dari saya.....UUM Kedah...

No comments: