Wednesday, November 27, 2013

#MuktamarPAS : Konsert METAL Sesat di Karnival PAS for ALL!!!



Sedih apabila PAS turut melaksanakan konsert metal. Seharusnya PAS akan lebih menjaga dirinya apabila ia melaksanakan tahalul siyasi dgn DAP dan PKR. Semoga PAS akan menjadi lebih baik.

Wednesday, November 20, 2013

Pengalaman menunggang motosikal seorang diri ke Bangkok Thailand (16-20 Nov 2013)



Ini adalah pengalaman saya ke Bangkok yang boleh saya kongsi bersama. Saya pergi pada 16 November dan pulang kembali ke Malaysia pada 20 November 2013. Saya menggunakan motosikal jenis Yamaha XJ6. Sebenarnya motor apa sahaja takde masalah asalkan ada keyakinan. Jadi saya kongsi pengalaman saya untuk anda apabila bergerak seorang diri ke Bangkok :
1.       Niatkan perjalanan yang dilakukan adalah ibadah bagi mendapatkan keredhaan Allah
2.       Pastikan motosikal telah di servis dan keadaan motosikal yang baik
3.       Elakkan bergerak malam
4.       Bawa passport
5.       Bawa salinan geran motosikal
6.       Beli insurans masuk Thailand (RM 16.00 untuk 9 hari) beli di Changlun, Kedah
7.       Ambil borang imigresen
8.       Bawa peralatan membuka tayar (cacing/penebuk tayar) tayar tubless lagi baik
9.       Bawa makanan segera, roti, biskut dan minuman 3 in 1 secukupnya (bagusnya milo)
10.   Pastikan motor ada side box dan elakkan beg sandang dibelakang badan (penat)
11.   Ada GPS / Peta Thailand
12.   Bawa pen dan buku nota untuk catatan sendiri (penting)
13.   Spray rantai 1 botol
14.   Ubat penting (panadol, cirit birit)
15.   Kompas untuk arah kiblat
16.   Sehelai seluar jeans, sehelai kain pelekat dan 2 helai t-shirt
17.   Duit yang telah ditukarkan paling tidak bawa RM 1,500.00 untuk 4 hari

Sempadan Thailand hanya dibuka jam 7.00 pagi (Malaysia) = 6.00 pagi (Thailand) dan akan ditutup kembali jam 12.00 mlm (Malaysia) = 11.00 mlm (Thailand)

Cara nak masuk
1.       Pastikan isi minyak motosikal penuh sebab minyak Thailand mahal. Ketika ini minyak RON 95 Malaysia ialah RM 2.10 seliter manakala Thailand RM 3.93 seliter, hamper 2 kali ganda
2.       Lepaskan dulu sempadan Malaysia untuk serahkan passport bagi tujuan pengesahan keluar
3.       Masuk Thailand motor parking tepi di pintu masuk
4.       Pergi kaunter antarabangsa dan serahkan passport Malaysia dan borang imigresen
5.       Pergi kaunter serahkan geran motor dan insurans serta bayaran RM 1.00
6.       Jangan kelam kabut dan tenang, jika ada masalah boleh bertanya di kaunter dalam Bahasa Melayu atau Inggeris

Selepas keluar singgah 7 eleven di Pekan Danok untuk beli
1.       Peta besar Thailand
2.       Beli sim card Thailand (call / internet) jika perlu, katanya call dari Thailand lebih murah
3.       Peta Bandar utama Thailand seperti Bangkok, Hatyai, Phuket, Krabi, Kanchanaburi dan sebagainya
4.       Mulakan perjalanan masuk, dengan penuh kesyukuran atas nikmat Allah
5.       Pam minyak jangan risau di sana ada banyak pam minyak termasuk Shell, Caltex, Esso dan Petronas (hanya di Bangkok)

Laluan masuk
1.       Pekan Danok (ini tempat org Malaysia berhibur, tengok-tengok cari pengalaman takpe, takyah singgah) beli sedikit makan (0 km) jam 5 petang
2.       Jumpa Sadao iaitu Daerah Selatan Thailand (23 km) jam 5.30 ptg
3.       Simpang 3 Hatyai. Jika tegak masuk Hatyai belok ke kiri untuk ke Krabi, Phuket, Trang, Bangkok (65 km) jam 6.15 ptg
4.       Saya menuju ke Krabi, ikut Jalan No. 4. Kemudian terus ke Phattalung (140 km) jam 8.15 mlm
5.       Selepas tu ke Trang (70 km) jam 9.00 mlm
6.       Sampai ke Krabi (190 km) jam 11 mlm. Di Krabi ada banyak pantai yang boleh dilihat, saya tak pergi Pantai sebab dah malam, hanya tidur di Hotel satu malam RM 60.00. Esok pagi sarapan di Kedai sebelah Masjid sebelum Bandar Krabi.
7.       Sampai ke Phuket (200 km) jam 1.00 ptg. Solat di Masjid jalan menuju ke Patong Beach. Sedekah duit utk keselamatan diri. Di sini banyak tahfiz dan makanan Islam. Saya ronda  di Pulau Phuket termasuk Karon Beach, pusing ke Chalong, Thalang dan berhenti di jambatan Pulau Phuket. Ambil gambar dan di tepi jalan ada gerai ikan masin
8.       Kemudian bergerak ke Ranong (400 km), ikut jalan no 4. Di sini akan melalui Takua Pa (pantai), Khura Buri, Suksamran, Kaper dan Ranong. Kawasan ini banyak muslim dan bila ada masjid boleh berhenti sebab di situ ada warung Islam. Kawasan ini banyak kelapa sawit dan agak sunyi. Sampai di Ranong, Bandar Ranong di sebelah kiri, tidak berada di Jalan besar. Boleh tidur di Farm Resort.  Makanan Islam di sini sukar cari kalau takde pengalaman, malamtu saya makan roti  dengan buah berangan.
9.       Esok pagi sarapan di Ranong Port. Ada kedai muslim dan di sini juga sempadan Thailan Myanmar. Kena naik bot. (Next time boleh pergi)
10.   Bergerak ke Chumporn (200 km) melalui Kra Buri. Berhenti seketika kerana boleh lihat sempadan 2 negara iaitu Myanmar dan Thailand. Nanti Nampak bot berulang alik menyeberang sempadan Negara. Seperti di Sungai Golok atau Munduk di Rantau Panjang. Di Chumporn makanan Islam sukar cari.
11.   Kemudian bergerak ke Prachuap Khiri Khan (300 km). Boleh bawa laju, ketika itu saya bawa 140 kmh. Hati-hati bila melalui simpang sebab ada kenderaan u-turn, lembu di tepi jalan dan kenderaan berat.
12.   Kemudian bergerak Bangkok (300 km) melalui Kui Buri, Pran Buri dan Phetchaburi. Berhenti di  simpang Pak Tho untuk belak ke kanan. Jika terus ke Rachaburi ia akan bertambah jauh. Anda akan melalui samut Songkhram, Samut Sakhon dan seterusnya ke Bangkok. Jalan raya mereka besar iaitu 3 lorong bermula di Petchaburi.
13.   Bangkok bandarnya memang padat dan sesak. Bawa motosikal yang ada side box kena hati-hati sebab boleh bergesel dengan kenderaan lain. Di sini memerlukan GPS atau peta Bandar Bangkok. Kalau nak cari makan boleh ke medan selera Arab iaitu Jalan Sukhumvit 3. Bila sampai di Bangkok jangan lupa ke Masjid Bangkok untuk derma di sana dan solat syukur. Berhibur dan juga beramal.

Tips untuk menuju ke destinasi
1.       Tidak semua orang Thai boleh berbahasa Inggeris. Mereka hanya faham menerusi Isyarat. Jika anda mahu makan tunjukk isyarat hendak makan dan sebut perkataan muslim.
2.       Minta orang Thai lukiskan peta destinasi yang hendak dituju
3.       Jika anda mahu ke desntinasi tertentu,memang sukar dan anda kepenatan sendiri. Berhenti di mana-mana parking yang ada lelaki memakai vest warna merah. Ia adalah teksi motosikal yang akan bergerak ke mana-mana. Bayar kepada mereka Rm 2.00 atau 20 baht dan minta dia bawakkan ke mana anda mahu pergi. Tips ini adalah untuk pengguna motosikal dan pejalan kaki.
4.       Anda tidak akan sesat, jika anda amati betul beberapa perkara iaitu :
a.       Bawa bisnes kad hotel anda, passport boleh tinggal di hotel atau membawanya
b.      Minta nasihat pihak kaunter hotel, lazimnya dia boleh berkomunikasi bahasa Inggeris dan menunjukkan tempat yang anda hendak pergi
c.       Tengok sekeling bangunan anda yang tertinggi sebagai symbol anda
d.      Hafal nama jalan besar hotel anda
e.      Boleh ikut laluan MRT
f.        Baca peta betul-betul
g.       Minta bantuan teksi motosikal sebab dia lebih tepat daripada GPS.

Nasihat dari saya
1.       Bawa motor jangan ikut orang lain, ikut kemampuan diri sendiri
2.       Pastikan rehat yang secukupnya termasuk tidur. Jika penat berhenti di mana-mana 7 eleven
3.       Jangan menghina atau mentertawakan Negara, raja, pakaian, polisi dan lambang mereka.
4.       Banyakkan tolak ansur dan sentiasa senyum
5.       Jika ada sesiapa tahan anda kalau anda yakin nak bantu anda boleh bantu. Ikut gerak hati masing-masing.
6.       Di atas motor banyakkan berzikir, hafal ayat-ayat lazim dan sentiasa menginsafi diri
7.       Nampak masjid datangkan perasaan syukur teramat sangat pada Allah sebab anda lebih banyak berjumpa tokong siam
8.       Sebenarnya kita di Malaysia lebih beruntung jika dibandingkan Thailand sebab pekerja pam minyak mereka hanya RM 400.00 sebulan sedangkan kita telah masuk gaji minima RM 900.00 sebulan
9.       Jika ke Thailand anda boleh beradab atas jalan, apatah lagi di Malaysia. Saya sayang anda semua sebab kita satu keluarga yang besar. Jaga nama baik Malaysia dan maruah diri anda.

Maaf jika catatan ini kurang tepat bagi mereka yang lebih arif keluar masuk, saya catat pada pengalaman saya yang pertama kali. Catatan saya hilang setelah hp Samsung Note saya crack di Prachuap Khiri Khan sebab motor saya terhentak di dalam lubang yang dalam ketika hujan .

Ketika ini saya sedang mengikuti pengajian peringkat Phd di UUM Sintok Kedah (International Study) semester 1. Kesempatan ini saya ambil. Ini kerana saya berulang-alik setiap minggu dari Muar ke UUM Kedah.

Saturday, July 6, 2013

PERUBAHAN UMNO KINI PENTING UNTUK MASA HADAPAN

Tidak lama lagi UMNO akan menghadapi pemilihan yang amat penting bagi menentukan masa hadapan parti tertua di dunia ini. Mengapa saya kata amat penting, ini kerana parti BN telah mengalami kekalahan yang paling teruk pada PRU 13 yang mana UMNO adalah tunjangnya. Masa hadapan UMNO dilihat amat berkait dengan masa hadapan dan corak Malaysia. Harus diingat parti UMNO merupakan pounch box kepada mereka yang tidak senang dengan kejayaan dan pencapaian yang dimiliki.

Saya melihat kepada 3 kumpulan di Malaysia yang melihat parti UMNO. Pertama mereka yang betul-betul duduk di dalam parti UMNO, memperjuangkan parti UMNO sebagai parti Melayu dan Islam. Mereka ini duduk dalam pelbagai lapangan, baik dari segi akademik, teknokrat, peniaga, ilmuan agama, politik, sosial dan pelbagai lagi. Mereka ini ada yang duduk berjawatan dalam parti dan ada yang duduk di luar. Golongan ini merupakan golongan yang amat penting dalam survival UMNO. Mereka yang dilahirkan dalam keluarga UMNO yang mana perjuangan Melayu dan Islam amat sinonim dengan dirinya.

Golongan kedua saya melihat kepada mereka yang terus menolak UMNO. Mereka ini dilahirkan di luar UMNO atau mereka yang kecewa, marah dan gagal dalam parti UMNO. Mereka ini sangat penting untuk menjadikan parti UMNO terus kekal. Mereka jelas menolak UMNO dengan alasan agama, keadilan, kezaliman dan sebagainya. Golongan ini dianggap sebagai pesaing utama dalam UMNO dan melihat UMNO begitu jijik dan haram. Golongan ini mempunyai pendekatan yang berlainan dengan parti UMNO. Kumpulan ini dilihat tidak memperjuangkan Melayu dengan lebih jelas namun tertumpu kepada agenda agama dan kesaksamaan. Harus diingat golongan ini semakin mendapat tempat jika pemimpin UMNO tidak mahu berubah.

Golongan ketiga adalah golongan berkecuali, ia tidak memihak kepada mana-mana, mereka yang mementingkan pada pencapaian diri sendiri. Mereka ini dilahirkan dalam suasana yang lebih terbuka. Mereka bukan tidak ada pendirian, tetapi pendirian mereka lebih terbuka. Golongan in lebih ramai jika dibandingkan dengan 2 golongan di atas. Golongan ini amat penting untuk ditarik oleh kedua pihak di atas. Golongan ini juga membuat keputusan pada saat akhir dengan melihat kepada penawaran yang diberikan oleh kedua pihak, melihat kepada permasalahan diri sendiri. Golongan ini perlu direbut dan diberikan tumpuan. Inilah golongan yang dipanggil atas pagar dalam parti politik. Mereka yang dilhahirkan kerana mahu memikirkan soal kerjaya. Mungkin juga golongan ini tidak didekati kerana mereka tidak mahu mengambil risiko dengan berbaik dengan 2 golongan di atas. Namun jika parti UMNO bijak menyesuaikan dirinya, maka golongan ini boleh beralih mengikuti UMNO.

Mengapa UMNO perlu berubah ?

UMNO perlu berubah dari segi kepimpinan iaitu tidak hanya melahirkan golongan koperat semata. Ia perlu memperbanyakkan golongan ilmuan, golongan agama, golongan sosial dan mereka yang ikhlas untuk berjuang. Bagaimana untuk membawa masuk golongan ini. Golongan ini boleh dibawa masuk menerusi perlantikan jawatan atau memegang mana-mana jawatan di dalam bahagian. Memasukkan golongan ini perlu dilihat secara terbuka. Menentukan kedudukan mereka di dalam parti juga penting untuk melihat mereka duduk bersama-sama dalam parti UMNO. Pada ketika ini UMNO dilihat sebuah parti yang mempunyai kemewahan, bersifat elit, tidak mementingkan soal pembangunan kerohanian dan tidak mendasar kepada perjuangan Melayu yang sebenar. Pejuang UMNO perlu meletakkan kepentingan Melayu dan Islam dihadapan jika dibandingkan kepada perjuangan projek. Golongan yang dibawa masuk ini perlu adil, mereka tidak boleh dibawa masuk dengan tangan kosong, mereka perlu diberikan tempat dalam apa jua bidang yang membolehkan mereka survive. Ini adalah wajar dan penting dengan suasana masakini yang telah berubah kepada ekonomi kapitalis. Ini bermakna perubahan ini bukan sahaja dilakukan oleh presiden parti namun kepada ketua UMNO Bahagian. Namun penegasan presiden UMNO adalah penting bagi memperlihatkan mereka benar-benar diperlukan dalam parti UMNO.

Tuesday, May 14, 2013

TRANSFORM UMNO BERMULA DARI PEMUDA

Menyedari PRU 13 keadaan parti BN yang ditunjangi oleh UMNO semakin tidak stabil, ia dilihat dari aspek  3 kaum iaitu Melayu bagi parti UMNO, Cina bagi parti MCA dan India bagi parti MIC yang perlu diadakan transform secara dalaman. Setelah post mortem yang dijalankan beberapa kali sejak PRU 10 sehingga PRU 13, maka wajarlah satu usaha yang sangat koprehensif dan berkesan perlu dijalankan.

Sebelum ini penulis ada menulis bahawa UMNO perlu melakukan transformasi dalaman bagi menjadikan UMNO terus relevan. Cakap-cakap relevan tidak hanya diluangkan daripada mulut semata, ia perlu dijadikan prinsip dan pendirian yang tersemat di dalam sanubari bagi setiap ahli-ahlinya. Jumlah keahlian UMNO yang dianggarkan lebih 2 juta perlu dijadikan satu kekuatan yang sebenar dan tidak lagi dianggap sebagai ahli back fire pada klimaks perjuangan.

Penulis melihat untuk menjadikan UMNO itu kekal dan relevan, maka penulis membawa pembaca semua untuk melihat kepada barisan pemuda. Ianya bermula daripada pemuda yang mempunyai kualiti terpilih, menjadikan pemuda sebagai benteng utama dihadapan, mejadi simbol kepada kejayaan dan menjadikan pemuda sebagai pewaris masa hadapan negara. Untuk itu apa yang pemuda perlu lakukan transformasi tersebut.

1. Mementingkan urusan Allah dan Islam sebagai matlamat hidup perjuangan
Dalam apa jua bidang termasuk politik urusan Allah mesti diletakakn dihadapan hidup kita. Mempercayai rukun Iman dan Islam akan melahirkan pemuda yang sangat disayangi dan disegani. Percaya kepada rezeki, qada dan qadar, pembalasan hari akhirat juga akan membataskan pemuda untuk tidak melakukan perbuatan sewenangnya.

2. Pemuda mestilah mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi dalam disiplin yang berbeza
Inilah segala intipati kejayaan, pemuda mestilah mempunyai sikap rajin membaca pada perkara fakta, dengan pembacaan sahajalah ia akan meringkaskan dan memendekkan masa mengecapi kejayaan. Banyak maklumat yang mudah diperolehi untuk menjadikan pemuda seorang yang cukup berilmu dan disiplin yang tinggi. Sikap membaca juga akan mengubah watak pemuda kepada golongan berfikir.

3. Pemuda mestilah kreatif, terbuka, bersungguh dan berwawasan untuk kecapi kegemilangan
Saya melihat, watak seperti ini akan menjadikan pemuda akan terus maju kehadapan. Saya menyeru kepada pemuda sekalian agar menjadikan tempoh usia pemuda ini untuk mengambil sebanyak mana ilmu, sebanyak mana peluang, sebanyak mana networking dan sebanyak mana keuntungan yang halal untuk persiapan masa tua. Oleh itu pemuda mestilah kreatif, terbuka, bersungguh dan mempunyai wawasan agar kedudukan pemuda dilihat lebih tinggi.

4. Mentaati kepada pemimpin dan menegur dengan hikmah sikap pemimpin
Dalam organisasi kita tidak lari daripada sifat menataati ketua yang kita angkat, namun bukanlah semua perkara kita turuti, selagi ianya tidak bertentangan dengan perkara mungkar, maka kita mesti taat kepada pemimpin kita. Oleh itu kita digalakkan menegur pemimpin kita dengan hikmah, dengan istighfar dan dengan niat untuk kebaikan semua pihak. Tindakan ini akan menjadikan pemuda mempunyai organisasi yang kuat dan padu.

5. Meninggalkan politik wang, rasuah, berpoya dan cakap kosong
Bagi menjadikan pemuda UMNO disanjungi, politik wang wajib digugurkan dan dielakkan kepada golongan muda. Budaya meminta rasuah, senduk, tekak kering, haus dan sebagainya perlu dielakkan untuk menjadikan pemuda seorang yang bermaruah. Sikap ini juga akan mewujudkan kehancuran pemuda dan seterusnya UMNO gagal mewujudkan barisan pelapis yang digeruni.

Dari itu, saya meminta kepada semua pembaca, ayuhlah kita melakukan tranformasi dalam pemuda untuk meletakkan pemuda ditempat yang sebenarnya. Apa yang saya tuliskan ini adalah ikhlas untuk kebaikan kita semua. Tanpa mengira apa jua latar belakang saudara termasuklah parti PAS, ayuhlah bersama pemuda UMNO untuk melakuakn transformasi demi kepentingan agama Islam, bangsa Melayu dan negara Malaysia.

Takbir...

Coretan transformasi pemuda

Mohd Radzi bin Hj Amin
15 Mei 2013
1.45 pagi



Thursday, January 31, 2013

MAJLIS SAMBUTAN MAULIDUR RASUL PPK BAKRI

Pada hari ini 31 Januari 2013 ada program sambutan maulidur rasul peringkat PPK Bakri, program diadakan di pejabat peladang bakri Jalan Sungai Abong. Program dihadiri oleh Yh. Dato Saipolbahri Hj Suib selaku Pengerusi NAFAS Kebangsaan,  Pengarah LPP Johor,  AJP Bakri. Ceramah yg disampaikan oleh Ust. Iskandar dari SK Bandar Maharani.

Antara pengisian ceramah adalah jika kita dalam tempoh 40 hari tidak diisi dengan ilmu ibarat tanah merekah yang tidak ditimpa hujan selama 40 hari. Isilah diri dengan ilmu agar diri menjadi sempurna.

Wednesday, January 30, 2013

ISU KESELAMATAN JALAN RAYA DI BUKIT NANING

Salam semua, saya menerima pandangan dari rakan berkenaan kemalangan maut yang kerap berlaku di sepanjang jalan Bakri ke Parit Sulong terutamanya bermula di Batu 12 sehingga Batu 20 Air Hitam. Satu usaha yang komprehensif perlu dilakukan bagi menangani permasalahan ini.

Isu ini telah banyak kali dibangkitkan, terbaru ADUN Bukit Naning YB. Datuk Hj Abdullah bin Md Ali telah membawa isu ini ke Mesyuarat Tindakan Daerah iaitu pada 30 Januari 2013. Pegawai Daerah Muar Tn Hj Abd Rahman Mohamad Dawam memberikan respond yang baik bagi mengatasi masalah kemalangan yang kerap di Air Hitam.

Di sini saya postkan memorandum bagi permasalahan kemalangan maut di Air Hitam :



TARIKH    :        30 JANUARI 2013
HARI         :        RABU
TEMPAT  :        PEJABAT DAERAH MUAR

1.     PENDAHULUAN

Isu keselamatan jalan raya di Bukit Naning telah menjadi satu isu utama. Isu ini telah menjadi kerisauan penduduk setempat. Kekerapan jumlah kemalangan telah mengakibatkan  angka kematian sentiasa meningkat. Bukan sahaja kemalangan kecil ia juga melibatkan kemalangan maut yang melibatkan penduduk setempat.

Keadaan geografi sepanjang jalan bermula batu 13 sehingga batu 20 Air Hitam adalah bergelombang. Ini kerana tanah bergambut dan penggunaan kenderaan berat telah mengakibatkan struktur jalan tidak rata. Keadaan bahu jalan yang tidak rata telah mengakibatkan pengguna sering mengelak kenderaan mereka ketika melalui jalan yang tidak rata. Jumlah peningkatan kenderaan setiap hari turut menyumbang kepada peningkatan kemalangan.

Oleh itu satu perancangan dan tindakan yang komprehensif perlu dilakukan bagi mengatasi permasalahan yang timbul. Peranan daripada jabatan terbabit seperti Pejabat Daerah, JKR, JPS, Polis, JPJ, MKJR dan NGO turut memainkan peranan penting bagi membantu mengurangkan dan mengelakkan kemalangan dari terus berlaku. Pembentukan sikap dan sahsiah diri ketika memandu amat penting bagi merealisasikan agenda mengatasi kemalangan jalan raya di kawasan Bukit Naning.

Penduduk meluahkan rasa sangat kecewa terutamanya mereka yang menjadi mangsa kemalangan akibat kecuaian pihak lain. Kekecewaan ini telah berterusan dan ada yang menganggap Jalan Air Hitam Muar sebagai perangkap maut. Penduduk juga telah memberikan pelbagai cadangan bagi mengatasi permasalahan kemalangan yang kerap berlaku dan mengorbankan nyawa penduduk.



2.     PERISTIWA  KEMALANGAN

Kami tidak mempunyai data yang lengkap dan memohon kepada pihak berwajib untuk menyenaraikan peristiwa kemalangan bagi memperkukuhkan lagi isu ini. Namun begitu kami cuba menyenaraikan beberapa kemalangan yang berlaku di sepanjang jalan bermula batu 12 sehingga batu 20 Air Hitam.


Bil.
Tempat
Tarikh
Catatan
1
Batu 14 Air Hitam
23 Jan. 2013
Seorang guru Sek. Keb. Bukit Naning dan 2 anak maut dihempap konkrit. Perlanggaran antara lori dan kereta.
2
Batu 16 Air Hitam
16 Oktober 2012
Seorang Guru Besar Sek Agama Bukit Naning maut berlanggar dengan lori
3
Batu 17 Air Hitam
23 Jan 2012
Sebuah treller mengheret penunggang motosikal (Pn. Rusmi Mahfoz) dan terposok di bawah treller
4
Batu 11 Jalan Bakri
19 Nov 2012
Kemalangan antara kereta Proton Saga dan Lori
5
Parit Samad Air Hitam
26 Jan 2012
Kemalangan melibatkan motosikal  dan basikal
6
Batu 16 Air Hitam
16 Dis 2012
Kemalangan sebuah kereta Proton Iswara masuk parit JKR
7
Batu 21 Air Hitam
22 Okt 2011
Pn Marhamah Kasiran meninggal akibat kemalangan kereta
8
Batu 12 Air Hitam
28 Apr 2011
Sebuah Pajero (Mohamad Azarul Akmal  Md Ramlan) mengelak lopak air dan bertembung dengan treller





3. CADANGAN PENYELESAIAN

Dalam mengatasi masalah ini, kami dapati beberapa cadangan perlu dilakukan segera bagi menangani permasalahan kemalangan maut di jalan sepanjang Air Hitam. Di antaranya adalah :

3.1         Mengadakan dialog penduduk bersama jabatan kerajaan yang terlibat bagi menangani masalah kemalangan maut di Jalan Air Hitam

3.2         Mengadakan solat hajat di seluruh masjid Air Hitam

3.3         Membaiki keadaan jalan yang tidak rata

3.4         Menambak bahu jalan setinggi jalan tar

3.5         Menambahkan perabot jalan termasuk lampu amaran

3.6         Memasang bill board bagi tujuan kesedaran

3.7         Memasang papan tanda kalimah Allah sepanjang jalan

3.8         Mengadakan sekatan jalan raya bagi tujuan pemeriksaan kenderaan berat

3.9         Meletakkan anggota JPJ bagi memantau kenderaan yang menyalahi peraturan

3.10   Mengadakan “speed trap” oleh pihak Polis

3.11   Mengedarkan risalah kempen kesedaran oleh MKJR

3.12   Mengadakan pemantauan oleh pihak SPAD

3.13   Mengenakan tindakan tegas dan keras ke atas pemilik kenderaan dan pemandu yang menyalahi peraturan

3.14   Pemasangan AES di Jalan Air Hitam

3.15   Melebarkan jalan Air Hitam

3.16   Menyediakan laluan motosikal

3.17   Mengurangkan had laju sedia ada iaitu dari 90 kmj kepada 70 kmj bagi kereta manakala lori berat kepada 60 kmj


4. PENUTUP

Adalah diharapkan langkah yang tegas dank eras perlu dilakukan dengan segera bagi mengelakkan lebih ramai yang akan menjadi mangsa kemalangan maut. Pihak kerajaan yang memainkan peranan utama seperti Pejabat Daerah Muar, JKR Muar, JPS Muar, Polis, JPJ, MKJR dan SPAD perlu bertindak segera bagi menangani kemelut penduduk setempat. Usaha membaiki sikap pengguna jalan raya dapat diatasi jika mereka didisplinkan dengan peraturan dan penguatkuasaan yang berterusan.


Daripada :


(YB. Datuk Hj. Abdullah bin Md. Ali)
ADUN Kawasan Bukit Naning