Tuesday, March 18, 2014

PERANAN AKTOR BUKAN NEGARA JUGA PENTING DALAM PROSES PEMBENTUKAN DASAR LUAR MALAYSIA

Hari ini 18.3.14 saya akan bentangkan proposal PHD saya di Dewan Seminar Kolej Undang-Undang, Kerajaan Dan Antarabangsa UUM jam 3.00 petang. Tajuk tesis PHD saya adalah Neoklasikal Realisme Dalam Proses Pembentukan Dasar Luar Malaysia Terhadap Amerika Syarikat.

Di dalam kajian ini, saya telah menemui kelompangan atau gap yang berlaku dalam bidang hubungan antarabangsa di negara Malaysia. Dengan menggunakan teori NCR yang dipelopori oleh William Wohlforth (1993), Thomas Christensen (1996), Alastair J.H. Murray (1997), Randal Schweller (1998) dan Fareed Zakaria (1998) maka saya melihat aktor bukan negara tidak dikaji secara teratur dan sistematik. Kemunculan teori realisme dalam bidang antarabangsa yang merupakan teori perdana telah membawa kepada kemunculan teori neorelisme dan seterusnya neoklasikal realisme.

Mengapa saya memilih tajuk ini ? Ini kerana masyarakat melihat proses dasar luar hanya ditentukan oleh kerajaan semata seperti Kementerian Luar dan Wisma Putra yang merupakan aktor negara. Namun saya menghujahkan sebaliknya iaitu aktor bukan negara juga berperanan dalam proses pembentukan dasar luar Malaysia. Saya memilik 3 elemen penting yang merupakan Intervening Variable iaitu parti, NGO dan individu berpengaruh. Bagi meluaskan kajian ini makan saya memilih 3 parti utama Melayu di negara iaitu UMNO, PAS dan PKR. Mengapa saya memilih 3 parti sahaja ? Ini kerana hanya parti Melayu sahaja yang dibenarkan memimpin Malaysia sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Bagi NGO yang saya pilih adalah ABIM dan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu yang aktif dalam isu antarabangsa. Manakala individu berpengaruh saya akan menemubual Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Syed Hamid Albar yang merupakan individu yang tidak mempunyai jawatan dalam kerajaan namun mempunyai pandangan yang boleh memberikan kesan ke atas proses pembentukan dasar luar Malaysia. Mengapa saya memilih Amerika Syarikat ? Ini kerana ia merupakan kuasa besar yang mana Malaysia masih memerlukan Amerika Syarikat dalam perlbagai bidang. 

Sepertimana kajian sebelum ini di peringkat Master yang saya lakukan di UKM, kali ini saya akan mengembangkan semula kajian saya. Di peringkat Master tajuk tesis saya adalah Politik Dalaman Dan Dasar Luar Malaysia Terhadap Amerika Syarikat : Perspektif Elit UMNO, PAS dan PKR yang telah diselia oleh Prof. Madya Dr. Kuik Cheng Chwee yang kini berada di Oxford UK dan US bagi melengkapkan Post Doc. Di peringkat PHD ini, saya akan diselia oleh Prof. Dr. Kamarulnizam Abdullah yang merupakan ahli Majlis Profesor Negara dalam bidang hubungan antarabangsa. Semoga kajian ini akan menambahkan lagi ilmu pengetahuan di negara kita dalam bidang hubungan antarabangsa dan menjadi rujukan pada rakyat di negara ini.

Monday, March 17, 2014

PERLUCUTAN JAWATAN TIDAK MEMATAHKAN SEMANGAT PERJUANGAN

Salam takzim buat anda semuanya... Isu berkaitan penggantungan YB. Dato' Seri Hj. Saipobahari sebagai Ketua UMNO Bahagian Bakri telah membawa kepada perlucutan jawatan saya sebagai AJK UMNO Bahagian Bakri yang dilantik. Perlucutan ini diambil tidak sampai 2 hari sewaktu perlantikan Tn. Hj. Hassan Johari selaku Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bakri untuk memangku jawatan Ketua UMNO Bahagian Bakri. Ini merupakan pengalaman yang cukup berharga bagi diri saya yang baru sahaja dilantik untuk memegang jawatan tersebut.

Perlucutan ini tidak membawa kesan yang buruk pada diri saya. Ini kerana saya yakin kepada prinspi perjuangan yang ikhlas dan baik sepertimana yang saya tekankan kepada rakan-rakan seperjuangan. Kita kena lihat dari luar dalam membuat penelitian yang lebih adil. Kita kena rasional dan tenang dan berbalik kepada prinsip perjuangan yang baik. Saya menganggap perlucutan ini banyak hikmah bagi diri saya. Paling penting kita dapat belajar selok belok politik dan pengalaman ini mematangkan diri kita supaya kita akan bertindak lebih baik pada masa mendatang. Saya kira dengan perlucutan ini juga ia akan memudahkan kerja-kerja dan urusan pentadbiran kepimpinan yang ada. Sememangnya saya tidak mempunyai masaalah dengan Pemangku yang ada, malah prinsip perjuangan asas iaitu "akur siapa ketua", "menghormati pemimpin yang lebih lama" dan menjunjung asas perlembagaan parti UMNO telah menjadi penyuntik semangat bagi diri saya. Dengan keadaan seperti ini juga, penumpuan saya untuk menumpukan pengajian di peringkat PHD akan lebih terurus.

Di dalam kesempatan ini juga, saya menyeru kepada semua ahli UMNO di Bahagian Bakri, hendaklah bersatu padu, pepatah Melayu "biduk berlalu kiambang bertaut" mestilah disematkan dalam diri. Kita sebagai satu kumpulan mestilah berpegang pada satu ketua dan kita sebagai ahli berhak menasihati jika kepimpinan itu tidak betul pada tapak sebenarnya. Oleh itu, saya mengharapkan rakan-rakan dalam parti, sama-samalah kita bekerjasama dalam memenangi PRU 14 pada masa akan datang. Jika kita percaya parti UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu, kita tanamkan sikap berbaik sangka, bersatu padu, tolong menolong dan ikhlas dalam perjuangan.

Sekian terima kasih dan salam takzim dari saya.....UUM Kedah...