Friday, January 16, 2009

Aduhai Pemimpin Pakatan Rakyat

Tamparan hebat untuk PAS apabila Pengerusi DAP Karpal Singh mengugut untuk DAP keluar dari Pakatan rakyat jika PAS tetap meneruskan agenda pelaksanaan hukum hudud jika Pakatan Rakyat memerintah negara ini. Ini kerana agenda tersebtu tiada dalam manifesto 2004. Isu ini timbul setelah Naib Presiden PAS, Husam Musa menyatakan PAS tetap melaksanakan Hukum Hudud semasa perdebatan dengan wakil BN.

Malah Pesuruhjaya PAS Kedah, Azizan Razak dilihat Karpal terlalu angkuh kerana tidak memahami dasar perjuangan yang dibawa oleh PAS walaupun tidak termasuk di dalam manefesto, malah beliau juga membandingkan pakatan BN terdapat UMNO, MCA, MIC dan pelbagai lagi yang memperjuangkan agenda parti masing-masing walaupun mereka di dalam pakatan dan perkara ini haruslah dicontohi.

Saya kasihan lihat parti PAS yang mempunyai hasrat yang murni dan mulia tetapi dikekang dek DAP yang tidak faham tentang perjuangan PAS. Kadangkala ikatan Pakatan Rakyat sendiri tidak kukuh bila ada isu-isu sensitive di antara mereka malah menjadikan Pakatan BN lebih rasional. Cumanya saya berpandangan jika PAS ingin meneruskan hasrat melaksanakan hukum hudud, saya persilakan kerana ia hukum Allah yang perlu dijalankan di atas muka bumi ini. Cumanya untuk memudahkan pelaksanan hukum tersebut, saya melihat adalah lebih baik PAS bergabung semula dengan UMNO yang sama-sama Islam dan sama-sama Melayu. Malah anak YB PAS pun berkahwin dengan anak YB. UMNO. Jangalah terus menerus bersengketa, UMNO dan PAS boleh duduk semeja untuk kepentingan agama, bangsa dan negara. Jangan terlalu ego baik UMNO mahupun PAS, kuasa boleh dicari tetapi jika agama, bangsa dan negara kita hilang sipa harus dipersalahkan.

Thursday, January 15, 2009

Pencapaian UPSR Johor Merosot Punca Bahasa Inggeris

Salam saudara, baru ini Pengarah Pelajaran Johor telah memaklumkan bahawa pencapaian 5A dalam UPSR tidak sampai 5,000 orang di seluruh Johor. Beliau sendiri mengakui Bahasa Inggeris adalah punca kejatuhan pencapaian pelajar di Negeri Johor. Pelajar hanya lulus penuh bagi 4 subjek tetapi gagal dalam Bahasa Inggeris. Malang sekali nasib pelajar tahun 2008 jika dibandingkan dengan pencapaian di Negeri Terengganu. Tahniah saya nak ucapkan kepada pelajar, ibu bapa dan guru-guru di Terengganu.

Kalau dilihat dari sudut perjuangan politik di negeri Johor yang menolak Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Inggeri ada benarnya. Bukan pencapaian cemerlang subjek yang hendak difikirkan tetapi yang lebih mustahak adalah memartabatkan Bahasa Melayu itu sendiri. Seolah-olah tiada keyakinan bahawa Bahasa Melayu mampu bersaing diperingkat dunia walhal penutur bahasa Melayu di rantau ini cukuplah ramai. Renungkanlah kembali Dasar Bahasa Kebangsaan yang mahukan Bahasa Melayu dimartabatkan.

Tiada persediaan dikalangan guru, kekurangan peralatan, kekuatan asas pelajar dan banyak aspek lagi yang memberi kesan kepada pelajar, kasihan juga saya lihat pelajar,sudahlah banyak kerja nak kena buat,bayaran yuran sekolah rendah dan agama juga membebankan malah pelajar ini sedang diuji oleh dasar kerajaan yang belum dapat dilihat hasil sepenuhnya.

Wednesday, January 7, 2009

Anda Tanya Saya Jawab

1. Kenapa berlaku kenaikan harga barang-barang yang meluas di Malaysia sejak akhir-akhir ini ?
Jawapan : Kenaikan harga kebanyakan barangan mutakhir ini merupakan fenomena yang bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi di seluruh dunia. Ia disebabkan kenaikan harga komoditi utama dunia seperti minyak mentah, bahan makanan yang digunakan untuk membuat bahan bakar, bijih besi, arang batu, gandum, jagung,kacang soya dan lain-lain lagi. Peningkatan ini diluar kawalan kerajaan kerana ia ditentukan oleh pasaran antarabangsa. Oleh itu, kerajaan sudah semestinya akan memastikan pengurusan ekonomi yang cekap bagi memastikan rakyat terbela. Namun pembangkang sering ambil kesempatan untuk menyalahkan kerajaan dan mengambil kesempatan di atas keperitan hidup rakyat untuk menjadi hero, sepatutnya pembangkang memberikan kerjasama dalam memastikan rakyat terbela, bukan buat demonstrasi yang merugikan duit rakyat.

Israel Melampaui Batas Kemanusiaan




SERANGAN ganas Israel ke atas Gaza sejak 27 Disember lalu membuktikan hasrat Israel untuk menguasai wilayah terbabit. Sebelum ini, ketika membuat lawatan di Kaherah pada Disember lalu, Menteri Luar Israel, Tzipi Livni mengancam untuk menjatuhkan kerajaan Hamas di Gaza. Setakat ini serangan itu sudah mengorbankan lebih 500 nyawa, kebanyakannya orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa. Seluruh dunia mengutuk serangan tidak berperikemanusiaan itu. Apa yang mampu dilakukan pejuang keamanan dan kemanusiaan sejagat ialah membantah dan mengutuk tindakan kejam Israel. Bagi mujahidin, terutama yang berpusat di Asia Barat, semangat jihad untuk menentang kekejaman Israel terus membara. Kita tidak nampak apa yang boleh dilakukan oleh Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) selain mengadakan persidangan dan mengeluarkan kenyataan mengutuk serangan Israel.

Setakat ini, usul yang cuba dibawa oleh dunia Arab untuk mengutuk Israel dan mendesak serangan ke atas Gaza dihentikan segera ditolak mentah-mentah oleh Amerika Syarikat (AS). Presiden George W Bush terus mempertahankan tindakan ganas rejim Zionis itu. Pemimpin Islam di seluruh dunia hanya mampu menyeru supaya dunia Islam bersatu tetapi realiti yang berlaku ialah tidak wujud 'wahdatul fikr' di kalangan mereka. Mesir sendiri mengiktiraf kewujudan negara haram Israel. Usaha memboikot produk keluaran Yahudi dan AS bukannya seruan baru. Setiap kali peristiwa hitam menyelubungi bumi Palestin, seruan itu akan berkumandang tetapi ia bersifat 'hangat-hangat tahi ayam'. Justeru, tidak hairanlah pelbagai jenama AS seperti ayam goreng, burger, minuman, rokok dan produk lain yang dikuasai pemodal Yahudi terus bertahan di kebanyakan negara Islam. Mampukah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengembalikan hak rakyat Palestin seperti terkandung dalam komitmen Persidangan Annapolis yang dibuat antara Presiden Mahmoud Abbas dan Perdana Menteri Ehud Olmert di Annapolis, Maryland di Amerika pada 27 November 2007?
Sukar rasanya untuk PBB berpendirian tegas selagi badan dunia itu bersandiwara di bawah telunjuk AS. Zionis dan AS adalah gabungan kuasa 'syaitan' yang memiliki sifat 'megah diri' atau kesombongan yang melampaui batas moral manusia. Dalam tradisi Yunani sifat itu digelar 'hubris' yang terkandung dalam kisah pertarungan antara Achilles dan Hector di Troy. Kisah pertarungan mereka diabadikan dalam Iliad, karya Homer, sasterawan agung Yunani. Dalam pertarungan itu, Hector ditewaskan dan sebelum ia mati, Hector meminta supaya mayatnya dipulangkan secara terhormat. Namun, Archilles yang memiliki penyakit 'hubris' bertindak mengheret Hector di hadapan pintu gerbang kota Troy selama dua belas hari berturut-turut. Kezalimannya itu adalah didorong oleh nafsu buas dan rasa berkuasa yang wujud dalam dirinya. 'Hubris' lebih kepada sifat dendam kesumat dan bukannya sifat menegakkan keadilan. Demikianlah sifat yang dimiliki Israel dan AS yang sentiasa menunjuk kekuasaannya ke atas rakyat Palestin yang lemah dan serba kekurangan. Ideologi Zionis yang didokong oleh pelbagai kumpulan Yahudi menjadikan fahaman perkauman sebagai teras kepada ajaran Zionisme. Atas semangat perkauman dan gerakan kebangsaan inilah Zionisme membina negara haram Israel di Palestin. Ia bermula apabila pada 1897 diadakan kongres Yahudi di Basel, Switzerland yang menghasilkan 'Program Basle'. Antara lain ia memutuskan akan membentuk sebuah negara Yahudi di Palestin. Untuk mencapai impian itu, pergerakan Zionis yang diasaskan oleh Herzl (1860-1904) berubah menjadi gerakan politik bersifat perkauman. Hasrat untuk menubuhkan negara Yahudi terkandung secara rasmi dalam Deklarasi Belfour 1917. Ia didukung kuat oleh Barat seperti terkandung dalam 'Churchill White Paper' (Januari 1922). Memang jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah Palestin adalah menerusi meja rundingan dan usaha damai. Namun, sepanjang kewujudan negara haram Israel pada 1948 sehingga kini, berpuluh perjanjian damai dibuat dan ratusan resolusi dikeluarkan Majlis Keselamatan PBB tetapi semuanya tidak dipatuhi rejim Zionis. Adilkah hanya darah umat Islam Palestin yang ditumpahkan tanpa sebarang tindak balas daripada Mujahidin yang berpusat di Asia Barat. Apabila Hamas, Hizbullah dan gerakan Mujahidin lain bertindak, maka ia dilabel sebagai pengganas. Adilkah ini? Hakikatnya Israel perlu ditentang melalui jihad ketenteraan. Persoalannya, negara Islam mana yang bersedia dan mampu mengepalainya? Mampukah seluruh negara umat Islam menggembleng kekuatan di bawah satu kepemimpinan (khalifah) selepas sekian lama khalifah terakhir umat Islam, Turki Uthmaniyah runtuh pada 1924. Yang menyedihkan kita ialah Fatah dan Hamas yang sudah lama berjuang bersama untuk membebaskan bumi Palestin daripada cengkaman Israel akhirnya bermusuh sesama sendiri. Semuanya kerana permainan licik Zionis, AS dan Eropah. Sejak Hamas memenangi pilihan raya Parlimen Palestin pada Januari 2006, Israel, AS dan Eropah cuba menyingkirkan Hamas melalui pelbagai usaha termasuk mengenakan sekatan ekonomi ke atas Gaza. Perjanjian Makkah pada Disember 2006 yang termeterai untuk membentuk kerajaan campuran tidak disenangi oleh mereka. Condoleeza Rice dan Keith Dayton berjaya memainkan isu perbezaan politik yang akhirnya mencetuskan perbalahan dan pertumpahan darah antara Hamas dan Fatah di Gaza pada Jun 2007. Pemimpin Fatah seperti Mahmoud dan Muhammad Dahlan sanggup bersekongkol dengan AS untuk menjatuhkan kerajaan Hamas. Kejayaan Hamas menguasai Gaza memberi alasan untuk Israel mengetatkan sekatan ekonominya ke atas Gaza. Israel juga berjaya mempengaruhi Mesir untuk menutup sempadan Gaza-Mesir. Tindakan Israel ini menyebabkan bantuan kemanusiaan dari PBB disekat hingga mencetuskan krisis kemanusiaan paling teruk dalam sejarah peradaban manusia. Usaha jahat AS dan Barat menjadi semakin mudah apabila Pihak Berkuasa Palestin (PA) di bawah Mahmoud Abbas yang membentuk kerajaan Tebing Barat mengisytihar Gaza sebagai wilayah pengganas. Mahmoud mendapat sokongan kuat AS dan Eropah yang mencurahkan berjuta dolar untuk melatih dan menguatkan pasukan keselamatannya. Tindakan ganas Israel ke atas Semenanjung Gaza adalah cabaran ke atas pentadbiran Barack Obama yang akan menduduki Rumah Putih pada 20 Januari nanti. Dunia tahu bahawa AS mengamalkan dasar melindungi dan mempertahankan negara haram Israel. Justeru, secara peribadi, saya melihat Obama akan terus memihak kepada rejim Zionis Israel kerana pengaruh Zionis begitu kuat dan kukuh dalam Kongres, Senat dan 'Rumah Putih' AS. Sumbangan Mohd Ayop Abd Razid.

Monday, January 5, 2009

Cabaran Parlimen Bakri Pada PRU 13

UMNO BAHAGIAN BAKRI

UMNO Bahagian Bakri diwujudkan setelah persempadanan baru dengan Bahagian Muar. Ia disempadankan pada tahun 1985 yang mana pada ketika itu Ketua UMNO Bahagian adalah Tn. Hj. Hashim bin Rais manakala Ketua Pemuda adalah Dr. Haris bin Salleh. UMNO Bahagian Bakri yang ketika itu memiliki 2 DUN iaitu Maharani dan Bukit Naning telah diwakili oleh En. Song Seng Kuee (DAP) bagi kerusi Maharani manakala Bukit Naning adalah Tn. Hj.Hashim bin Rais. Pada tahun 1987 setelah berlakunya pertembungan antara Ku Li dan Dr. Mahathir UMNO Bahagian Bakri turut terasa apabila wujud dua kumpulan besar iaitu UMNO (Hj. Hashim Rais, Dr. Haris Salleh) dan Semangat 46 (Hj. Masiran Elias dan Mazlan Abu). Seterusnya pada tahun 1989 berlakunya perlawanan Ketua UMNO Bahagian Bakri iaitu Hj. Hashim Rais bertemu Hj. Masiran Elias (kembali semula ke dalam UMNO) yang mana Hj. Masiran Elias telah memenangi perlawanan tersebut .Ketua Pemuda ketika itu adalah Sdr. Amin bin Surat. Seterusnya pada tahun 1990 wakil rakyat DUN Bukit Naning ketika itu adalah Hj. Masiran Elias yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Bakri telah mengekalkan jawatan sebagai KetuaUMNO Bahagian selama 2 penggal dan ADUN Bukit Naning selama 2 penggal. Seterusnya, Hj. Masiran telah ditentang oleh Dato' Mazlan Abu yang memegang jawatan ketua selama 2 penggal. Pada tahun 2001 Dato' Mazlan telah ditewaskan oleh Datuk Dr. Haris Salleh dan pada tahun 2004, Datuk Dr. Haris telah ditewaskan oleh Datuk Hj. Abdullah bin Md. Ali. Kemudian pada tahun 2008 UMNO Bahagian Bakri telah menukar kepimpinan baru iaitu En.Mohd Saipolbahri bin Shuib yang merupakan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian pada ketika itu.

Perpaduan Melayu Mesti Dipelihara

Perpaduan Melayu mestilah dipelihara bagi memastikan kuasa Melayu di atas tanah Melayu ini terus berkuasa. Kita perlu menyedari hakikat bahawa tanah Malaysia ini dimiliki oleh orang Melayu. Dasar penjajahan ketika sebelum merdeka yang membawa kaum Cina dan India datang ke Tanah Melayu bagi tujuan aktiviti ekonomi dan penerimaan masyarakat Melayu kepada kaum ini tidaklah kita perlu melupakan sejarahnya dan pengorbanan pejuang Tanah Melayu ketika dahulu. Menyedari keadaan Melayu pada hari ini yang bergaduh ke atas perkara yang kecil, mencaci maki saudara Islam sendiri, memfitnah, menghina dan pelbagai lagi kerana perebutan kuasa perlulah dihentikan segera kerana ia bukanlah satu perbuatan yang baik dan dianjurkan di dalam Islam.Pilihanraya baru-baru ini telah menampakkan perpaduan Melayu telah terhakis dan ada di kalangan Melayu yang kononnya mendakwa dirinya pejuang keadilan dan pejuang keislaman sanggup memberikan undi kepada DAP iaitu adik parti PAP (Singapore) kerana rasa tidak puas hati kepada pemipin Melayu. Janganlah kerana marahkan nyamuk kelambu di bakar dan janganlah kerana taksub individu seseorang kita sanggup menggadaikan maruah bangsa kita sendiri. Janganlah perbuatan kita ini menyebabkan kita menafikan hak anak-anak,cucu-cucu dan keturunan kita memiliki apa yang kita miliki hari ini. Lahirnya profesional Melayu hari ini kerana usaha parti yang dikeji ini, parti yang buruk ini, parti yang tidak Islamik ini iaitu parti UMNO. Seburuk-buruk UMNO ia masih lagi bawa Melayu dan Islam, tapi kalau kita dah beri undi kat parti yang tidak berteraskan Melayu dan Islam, saya fikir kita telah mengkhianati amanah Islam itu sendiri.

UMNO Perlukan Jawatankuasa Pengimbang

Cadangan ini memperlihatkan kesan daripada keadaan UMNO hari ini yang dilihat sebagai parti yang besar, lama dan berjasa, namun dalam masa wujudnya penghakisan kualiti khususnya di peringkat akar umbi. Kecenderungan hari ini jika dilihat dalam aspek pemuda, ia tidak begitu meminati dan menghayati parti UMNO walaupun ia didaftarkan sebagai ahli, ini kerana mereka didaftarkan tanpa penerangan dan bimbingan yang jelas hanyalah kepada matlamat penubuhan cawangan dengan jumlah perwakilan cawangan yang ramai.Memandangkan pada kebelakangan ini segala keputusan atau sebarang tindakan yang dilakukan oleh sebahagian ketua tidak dapat ditegur atau gagal diberikan nasihat maka wajarlah jawatankuasa “Pengimbang UMNO” diwujudkan bagi melahirkan parti yang dinamik, aktif dan berkualiti.Adalah diharapkan cadangan mewujudkan Jawatankuasa “Pengimbang UMNO” dapat diadakan bagi memastikan parti UMNO sentiasa relevan,dinamik dan bertanggungjawab. Ini kerana kegagalan sesetengah pihak meluahkan pandangan yang terbaik untuk parti telah disekat oleh juak-juak politik yang mengakibatkan parti UMNO dilihat pada hari ini kaku,lesu, tidak diminati dikalangan golongan muda, tiada integrity dan mengamalkan tradisi lama.Dengan mewujudkan Jawatankuasa “Pengimbang UMNO” ia akan memberikan nafas baru dan mewujudkan “Dasar Pintu Terbuka” untuk semua ahli menyuarakan pandangan yang terbaik.Adalah lebih baik pembangkang didalam parti diwujudkan jika dibandingkan pembangkang di dalam parti. Ini kerana pembangkang di dalam parti mempunyai sifat tanggungjawab dan mempunyai perasaan cintakan parti. Adalah lebih baik dan manis teguran dapat di buat di dalam parti berbanding mereka yang menggunakan media, sms, blog, akhbar, radio dan pelbagai kegunaan untuk menghentam parti.Mewujudkan Jawatankuasa “Pengimbang UMNO” diibaratkan gaduh adik beradik yang hasilnya bertambah baik. Ini kerana air yang dicincang tidak akan putus.