Thursday, January 31, 2013

MAJLIS SAMBUTAN MAULIDUR RASUL PPK BAKRI

Pada hari ini 31 Januari 2013 ada program sambutan maulidur rasul peringkat PPK Bakri, program diadakan di pejabat peladang bakri Jalan Sungai Abong. Program dihadiri oleh Yh. Dato Saipolbahri Hj Suib selaku Pengerusi NAFAS Kebangsaan,  Pengarah LPP Johor,  AJP Bakri. Ceramah yg disampaikan oleh Ust. Iskandar dari SK Bandar Maharani.

Antara pengisian ceramah adalah jika kita dalam tempoh 40 hari tidak diisi dengan ilmu ibarat tanah merekah yang tidak ditimpa hujan selama 40 hari. Isilah diri dengan ilmu agar diri menjadi sempurna.

Wednesday, January 30, 2013

ISU KESELAMATAN JALAN RAYA DI BUKIT NANING

Salam semua, saya menerima pandangan dari rakan berkenaan kemalangan maut yang kerap berlaku di sepanjang jalan Bakri ke Parit Sulong terutamanya bermula di Batu 12 sehingga Batu 20 Air Hitam. Satu usaha yang komprehensif perlu dilakukan bagi menangani permasalahan ini.

Isu ini telah banyak kali dibangkitkan, terbaru ADUN Bukit Naning YB. Datuk Hj Abdullah bin Md Ali telah membawa isu ini ke Mesyuarat Tindakan Daerah iaitu pada 30 Januari 2013. Pegawai Daerah Muar Tn Hj Abd Rahman Mohamad Dawam memberikan respond yang baik bagi mengatasi masalah kemalangan yang kerap di Air Hitam.

Di sini saya postkan memorandum bagi permasalahan kemalangan maut di Air Hitam :



TARIKH    :        30 JANUARI 2013
HARI         :        RABU
TEMPAT  :        PEJABAT DAERAH MUAR

1.     PENDAHULUAN

Isu keselamatan jalan raya di Bukit Naning telah menjadi satu isu utama. Isu ini telah menjadi kerisauan penduduk setempat. Kekerapan jumlah kemalangan telah mengakibatkan  angka kematian sentiasa meningkat. Bukan sahaja kemalangan kecil ia juga melibatkan kemalangan maut yang melibatkan penduduk setempat.

Keadaan geografi sepanjang jalan bermula batu 13 sehingga batu 20 Air Hitam adalah bergelombang. Ini kerana tanah bergambut dan penggunaan kenderaan berat telah mengakibatkan struktur jalan tidak rata. Keadaan bahu jalan yang tidak rata telah mengakibatkan pengguna sering mengelak kenderaan mereka ketika melalui jalan yang tidak rata. Jumlah peningkatan kenderaan setiap hari turut menyumbang kepada peningkatan kemalangan.

Oleh itu satu perancangan dan tindakan yang komprehensif perlu dilakukan bagi mengatasi permasalahan yang timbul. Peranan daripada jabatan terbabit seperti Pejabat Daerah, JKR, JPS, Polis, JPJ, MKJR dan NGO turut memainkan peranan penting bagi membantu mengurangkan dan mengelakkan kemalangan dari terus berlaku. Pembentukan sikap dan sahsiah diri ketika memandu amat penting bagi merealisasikan agenda mengatasi kemalangan jalan raya di kawasan Bukit Naning.

Penduduk meluahkan rasa sangat kecewa terutamanya mereka yang menjadi mangsa kemalangan akibat kecuaian pihak lain. Kekecewaan ini telah berterusan dan ada yang menganggap Jalan Air Hitam Muar sebagai perangkap maut. Penduduk juga telah memberikan pelbagai cadangan bagi mengatasi permasalahan kemalangan yang kerap berlaku dan mengorbankan nyawa penduduk.



2.     PERISTIWA  KEMALANGAN

Kami tidak mempunyai data yang lengkap dan memohon kepada pihak berwajib untuk menyenaraikan peristiwa kemalangan bagi memperkukuhkan lagi isu ini. Namun begitu kami cuba menyenaraikan beberapa kemalangan yang berlaku di sepanjang jalan bermula batu 12 sehingga batu 20 Air Hitam.


Bil.
Tempat
Tarikh
Catatan
1
Batu 14 Air Hitam
23 Jan. 2013
Seorang guru Sek. Keb. Bukit Naning dan 2 anak maut dihempap konkrit. Perlanggaran antara lori dan kereta.
2
Batu 16 Air Hitam
16 Oktober 2012
Seorang Guru Besar Sek Agama Bukit Naning maut berlanggar dengan lori
3
Batu 17 Air Hitam
23 Jan 2012
Sebuah treller mengheret penunggang motosikal (Pn. Rusmi Mahfoz) dan terposok di bawah treller
4
Batu 11 Jalan Bakri
19 Nov 2012
Kemalangan antara kereta Proton Saga dan Lori
5
Parit Samad Air Hitam
26 Jan 2012
Kemalangan melibatkan motosikal  dan basikal
6
Batu 16 Air Hitam
16 Dis 2012
Kemalangan sebuah kereta Proton Iswara masuk parit JKR
7
Batu 21 Air Hitam
22 Okt 2011
Pn Marhamah Kasiran meninggal akibat kemalangan kereta
8
Batu 12 Air Hitam
28 Apr 2011
Sebuah Pajero (Mohamad Azarul Akmal  Md Ramlan) mengelak lopak air dan bertembung dengan treller





3. CADANGAN PENYELESAIAN

Dalam mengatasi masalah ini, kami dapati beberapa cadangan perlu dilakukan segera bagi menangani permasalahan kemalangan maut di jalan sepanjang Air Hitam. Di antaranya adalah :

3.1         Mengadakan dialog penduduk bersama jabatan kerajaan yang terlibat bagi menangani masalah kemalangan maut di Jalan Air Hitam

3.2         Mengadakan solat hajat di seluruh masjid Air Hitam

3.3         Membaiki keadaan jalan yang tidak rata

3.4         Menambak bahu jalan setinggi jalan tar

3.5         Menambahkan perabot jalan termasuk lampu amaran

3.6         Memasang bill board bagi tujuan kesedaran

3.7         Memasang papan tanda kalimah Allah sepanjang jalan

3.8         Mengadakan sekatan jalan raya bagi tujuan pemeriksaan kenderaan berat

3.9         Meletakkan anggota JPJ bagi memantau kenderaan yang menyalahi peraturan

3.10   Mengadakan “speed trap” oleh pihak Polis

3.11   Mengedarkan risalah kempen kesedaran oleh MKJR

3.12   Mengadakan pemantauan oleh pihak SPAD

3.13   Mengenakan tindakan tegas dan keras ke atas pemilik kenderaan dan pemandu yang menyalahi peraturan

3.14   Pemasangan AES di Jalan Air Hitam

3.15   Melebarkan jalan Air Hitam

3.16   Menyediakan laluan motosikal

3.17   Mengurangkan had laju sedia ada iaitu dari 90 kmj kepada 70 kmj bagi kereta manakala lori berat kepada 60 kmj


4. PENUTUP

Adalah diharapkan langkah yang tegas dank eras perlu dilakukan dengan segera bagi mengelakkan lebih ramai yang akan menjadi mangsa kemalangan maut. Pihak kerajaan yang memainkan peranan utama seperti Pejabat Daerah Muar, JKR Muar, JPS Muar, Polis, JPJ, MKJR dan SPAD perlu bertindak segera bagi menangani kemelut penduduk setempat. Usaha membaiki sikap pengguna jalan raya dapat diatasi jika mereka didisplinkan dengan peraturan dan penguatkuasaan yang berterusan.


Daripada :


(YB. Datuk Hj. Abdullah bin Md. Ali)
ADUN Kawasan Bukit Naning