Wednesday, January 6, 2010

ISU KALIMAH ALLAH


Berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly dengan ini Gerakan Belia 4B Negeri Johor berpendirian bahawa :
1. Kami dengan ini menyokong kenyataan YAB Perdana Menteri yang berjanji akan menyelesaikan isu ini bersandarkan proses undang-undang melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang akan bertindak memfailkan rayuan.
2. Kami juga menyokong hasrat YAB Perdana Menteri untuk mengadap Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu dalam jangka masa terdekat bagi menyelesaikan isu ini.
3. Kerajaan juga digesa untuk menggubal dan melaksanakan Akta Sekatan Dan Pengembangan Dan Dakyah Agama Lain ke atas penganut/orang Islam di negeri-negeri yang masih belum melaksanakannya dan sekiranya akta ini wujud di negeri berkenaan (yang belum melaksanakannya) sudah tentu keadaan akan berbeza iaitu menggunakan kalimah Allah selain daripada Islam akan menjadi satu kesalahan jenayah.
4. Kami juga ingin mengingatkan semua pihak yang berkenaan tentang Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke 82 yang bersidang pada 5 hingga 7 Mei 2008 memutuskan penggunaan kalimah Allah adalah khusus buat agama dan umat Islam sahaja.
5. Kami juga mahu member peringatan kepada pihak berkenaan tentang Keputusan Kerajaan sebelum ini melalui mesyuarat Kabinet bertarikh 16 Mei 1985 juga telah memutuskan bahawa perkataan Allah adalah termasuk antara kalimah-kalimah yang dilarang penggunaannya oleh mereka yang bukan beragama Islam. Malah penggunaan kalimah Allah, Baitullah, Solat dan Kaabah telah pun diwartakan hanya eksklusif buat umat Islam sahaja bertarikh 5 Disember 1986. Manakala Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada 3 Januari 2008, memutuskan untuk mengekalkan larangan tersebut sebagaimana yang pernah diputuskan pada 18 Oktober dan 1 November 2006.
6. Kami di dalam Gerakan Belia 4B Negeri Johor mahu memberi amaran kepada pihak yang berkenaan supaya tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang mendakwa kerajaan tidak mempunyai hak untuk campurtangan di dalam urusan dalam gereja berdasarkan hak yang diberi oleh Perkara 11(3a) Perlembagaan Persekutuan. Ini kerana alas an ini adalah tidak benar sama sekali. Sebaliknya kerajaan telah diberi hak oleh Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 11(4) (untuk mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang-orang yang menganuti agama Islam). Di bawah peruntukan ini kerajaan (sama ada kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri) telah menggubal undang-undang mengawal dan menyekat pengembangan agama-agama bukan Islam terhadap umat Islam. Sebagai contoh Enakmen Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Negeri Terengganu 1980, Seksyen 9 menyebut; (melarang seseorang (bukan Islam) daripada menggunakan perkataan-perkataan tertentu baik dalam tulisan, ucapan atau kenyataan untuk menggambarkan antaranya kepercayaan atau konsep mana-mana agama bukan Islam. Perkataan-perkataan itu termasuklah Allah, Ilahi, Rasul, Nabi, Wahyu, Iman, Imam, Syariah, Ulama, Dakwah, Ibadah, Injil dan lain-lain). Peruntukan ini jelas menunjukkan bahawa menggunakan kalimah “Allah” sebagai terjemahan kepada perkataan “God” di dalam Bible adalah menyalahi undang-undang yang sedang berkuatkuasa di negara ini. Oleh itu, ia tidak boleh disifatkan sebagai urusan dalaman gereja.
7. Pihak kami juga mahu mengemukakan soalan terhadap pihak berkenaan, mengapa mereka tidak menggunakan kalimah asal bagi tuhan sebagaimana yang terkandung dalam bahasa asal kitab mereka ? Mengapa nama tuhan perlu diterjemah sedangkan nama tuhan adalah satu nama khas yang sepatutnya digunapakai tanpa mengira bahasa pertuturan si penganut agama. Bukankah kalimah tuhan dalam Bible berbahasa Ibrani ialah Elohim, El, Eloh atau Elah ?
Dan soalan kedua kami mengapa masih wujud percanggahan antara penganut agama mereka tentang gelaran kepada tuhan mereka sendiri ? sedangkan pada Ogos 2007, seorang paderi Roman Katholik di Belanda, Tiny Muskines, telah membuat seruan supaya penganut Kristian menggunakan kalimah “Allah”. Bagaimanapun seruan tersebut telah mendapat bantahan daripada penganut Krisitan sama ada dalam kalangan Protestan mahupun Katholik. Presiden Liga Katholik Bagi Hak Agama dan sivil telah membantah saranan tersebut dalam kenyataannya.
8. Gerakan Belia 4B Negeri Johor mewakili sebahagian generasi muda menegaskan walaupun keputusan mahkamah itu harus dihormati berdasarkan prinsip keluhuran undang-undang, kami tetap berasa amat khuatir ianya boleh mencetuskan pergaduhan dan perbalahan dalam masyarakat malah tidak mustahil akan berlakunya rusuhan agama yang akan menggugat keharmonian dan keamanan negara. Ianya tidak mustahil berlaku sekiranya kemarahan umat Melayu sudah tidak terbendung lagi.
9. Selaku warganegara yang cintakan keamanan berteraskan perpaduan kaum dan semangat Satu Malaysia, pihak kami menuntut agar isu ini berakhir secara yang sebagaimana yang sebahagian besar rakyat mengharapkan.
10. Kami yakin dengan kemampuan kerajaan pimpinan YAB Perdana Menteri untuk menyelesaikan isu ini dengan sebaik-baiknya.
Inilah kenyataan media yang disampaikan oleh Sdr. Mohd Syahrin bin Jamaludin selaku Pengerusi Gerakan Belia 4B Negeri Johor

Sehubungan dengan itu Gerakan Belia 4B Kawasan Bakri meminta semua umat Islam agar dapat solat hajat dan membacakan surah yassin setiap malam agar keputusan Mahkamah Rayuan akan memihak kepada kita dan mengharapkan daripada Allah SWT agar dapat melindungi dan menyelamatkan Islam di bumi Malaysia ini.

No comments: