Sunday, February 8, 2015

PELAN SUARA HATI JOHOR



Assalamualaikum dan salam muafakat Johor kepada semua pembaca. Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan Negeri Johor pimpinan YAB Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang telah membawa Johor ke satu tahap yang lebih baik menerusi kesinambungan pemimpin terdahulu. Usaha mewujudkan satu program yang mendekati rakyat iaitu Pelan Suara Hati Johor adalah usaha yang dinanti-nantikan oleh rakyat jelata. Ini memperlihatkan kerajaan yang diterajui oleh BN adalah sebuah kerajaan yang prihatin dan mendekati rakyat. Konsep merakyatkan kerajaan Johor telah menampakkan bahawa kerajaan tidak bertindak sebagai aktor dominan malah buah fikiran setiap rakyat yang diluahkan menerusi media sosial turut diambilkira dalam menjadikan sebuah negeri yang berjaya, selamat, harmoni, sejahtera dan mempunyai wawasan untuk dicapai.

Transformasi yang dilakukan oleh kerajaan Johor adalah bersesuaian dengan era dan perubahan yang berlaku. Ini secara tidak langsung menjadikan Johor sebuah kerajaan yang dinamik dan berjaya. Usaha kerajaan dalam membina rumah mampu milik, menambahkan jumlah rezab tanah Melayu yang berganda dan membaiki segala kemudahan awam boleh dianggap sebagai usaha yang menepati sasaran dan mendekati rakyat. Ini kerana rakyat hanya mahukan kehidupan yang sejahtera dan selamat bersesuaian dengan nama Johor itu sendiri.

Syabas dan tahniah kepada kerajaan Johor yang tidak berhenti menjuarai isi hati rakyat dan dapat meminimakan permasalahan rakyat. Saya juga berdoa agar pemimpin Johor, pentadbir Johor dan rakyat Johor sentiasa beristiqamah dalam mencari kebahagian dan kejayaan hidup bagi mewariskan kepada generasi seterusnya.

Sekian terima kasih.

PERLANTIKAN SEBAGAI KETUA PENERANGAN UMNO BAHAGIAN BAKRI

As salam dan salam sejahtera kepada semua rakan-rakan. Pertamanya saya ingin memanjatkan rasa syukur kepada Allah SWT atas limpah dan kasih Nya kita dapat meneruskan kehidupan di bumi yang bertuah ini. Semoga negara dan pemimpin kita akan dirahmati Allah dan kita semua berada dalam keadaan yang selamat.

Pada 13 Mei 2014 saya telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bakri bagi sesi 2013 -2016. Perlantikan ini satu penghormatan dan kepercayaan yang begitu tinggi kepada diri saya menerusi Tn Hj Hassan bin Hj Johari selaku Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bakri. Sebagai Ketua Penerangan yang baru dalam usia 36 tahun, ia dianggap sebagai usia yang muda dalam menggerakkan aktiviti penerangan di peringkat Bahagian. Dengan beberapa pengalaman yang ada iaitu pernah menjadi Pegawai Khas Datuk Dr. Haris Salleh (Ketua UMNO Bakri sesi 2001 - 2004), Pegawai Khas Datuk Abdullah bin Md. Ali (Ketua UMNO Bakri sesi 2004 - 2008), Setiausaha Pemuda UMNO Bakri sesi 2004 - 2008, AJK Pemuda UMNO Bakri sesi 2008 - 2013, dan AJK Bahagian lantikan Dato' Seri Saipolbahari bin Hj Suib pada 2013 akan digunakan bagi memperkukuhkan parti UMNO di Bahagian Bakri.

Dengan menduduki jawatan sebagai Ketua Penerangan UMNO Bakri ia bukanlah suatu perkara yang muda. Ini kerana ia perlu bertindak untuk menjaga 128 cawangan dan kawasan yang dimenangi parti DAP bagi Parlimen Bakri. Oleh itu saya berharap kepada semua pimpinan dan jawatankuasa Bahagian, Wanita, Pemuda, Puteri, PDM dan Cawangan agar dapat bersatu hati dalam menawan semula kerusi yang tertewas pada PRU 12 dan PRU 13. Saya juga mengharapkan teguran dan nasihat membina dalam meneruskan perjuangan ini yang merupakan amanah kepada generasi selepas saya.

Terima kasih kepada Tn  Hj Hassan Johari atas perlantikan ini dan kerjasama daripada Peneragan Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor dan Datuk Ahmad bin Maslan yang merupakan Ketua Penerangan UMNO Malaysia.

Salam perjuangan dan salam muafakat Johor.