Monday, March 22, 2010

PROGRAM OPKIM UITM DI PARLIMEN BAKRI




Syabas dan tahniah kepada semua peserta OPKIM iaitu 104 pelajar, 32 siswa/siswi UiTM fakulti Pengurusan Perniagaan, 15 orang belia 4B dan 10 orang guru yang menyertai kursus selama 3 hari 2 malam di SMK Sungai Abong. Saya sebagai Pengerusi belia 4B Kawasan Bakri ingin mengucapkan jutaan terima kasih khususnya kepada Dato' Saipolbahari yang sudi merasmikan majlis penutupan OPKIM, Datuk Dr.Haris Salleh selaku Pengerusi JPMM DUN Sungai Abong, Tn. Hj. Ahmad Nasarudin Tulus selaku wakil rasmi Pegawai Pelajaran Daerah Muar, Tn. Hj. Mahmud bin Sarlan selaku Pengetua SMK Sungai Abong, Pn.Sahera binti Arifin selaku Pensyarah UiTM, Tok Kahar Mashuri selaku Pengerusi PIBG merangkap ketua kampung dan En Hanapiah selaku pengusaha kantin.

Program yang bermula pada 19-21 Mac 2010 telah dilancarkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri di Kompleks Sukan Pagoh dengan melibatkan lebih 800 siswa/siswi, 2,414 pelajar dan Parlimen yang terpilih.

Bagi Parlimen Bakri, pemilihaan sekolah ini dibuat berdasarkan latarbelakang sekolah yang berada diantara bandar dan luar bandar serta kedudukan sekolah yang berada di kawasan kalah.

Banyak pengisian telah dijalankan seperti program LDK yang menerapkan nilai keyakinan, jati diri,keberanian,kepimpinan, nilai kerohanian dan semangat muafakat dalam kumpulan. Pelajar juga turut mengadakan program gotong royong di Taman Marin dengan membersihkan kawasan secara bersama dengan pihak SWM. Pihak sekolah juga berharap agar Gerakan Belia 4B akan terus memberikan kursus seperti ini yang akan memberikan faedah kepada generasi akan datang.

Syabas kepada peserta OPKIM,siswa/siswi, para belia dan pihak pengurusan pendidikan.

SUKAN JPMM DUN BUKIT NANING




Saya selaku Penyelaras Sukan JPMM DUN Bukit Naning ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para peserta yang menyertai 4 acara sukan yang dipertandingkan iaitu sepak takraw terbuka, futsal junior, futsal terbuka dan futsal veteran, bola keranjang 3 on 3 dan bola jaring 3 on 3. Pertandingan sukan yang diadakan di kompleks penghulu Mukim Air Hitam bagi acara futsal dan bola jaring, manakala acara sepak takraw diadakan di gelanggang batu 17 dan bola keranjang di dewan Pu Nan Bakri. Sebanyak 54 pasukan telah mendaftarkan diri bagi kesemua acara dan yang paling unik adalah acara ini turut mensyaratkan seorang bukan Melayu bagi setiap acara yang dipertandingkan. Bagi DUN Bukit Naning adalah sukar untuk mengadakan gabungan antara bukan Melayu kerana demografi kawasan yang semulajadi, namun strategi dan sokongan daripada masyarakat Cina dan India yang baik telah berjaya mengadakan gabungan ini dengan mengambil India di Batu 6 dan Cina di Bukit Bakri.

Sukan ini telah dirasmikan oleh YH. Dato' Saipolbahari Hj Suib selaku Ketua UMNO Bahagian Bakri dan penutupan dilakukan oleh YB. Datuk Hj. Abdullah bin Md. Ali selaku ADUN Bukit Naning, bagi penyampaian hadiah ia dilakukan pada 1 April 2010 yang akan disampaikan oleh Menteri Besar Johor sempena lawatan kerja ke Bukit Naning.

Kesempatan ini saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada urusetia pertandingan iaitu Md. Zin Baki, Salimi Md. Shah, Idros, Nurita Sapari, Masleha, Samsudin, Azman, Edy, Jamil Jamirin, Hasmawi, Allen, En Majid, Vasu, Lee Poh Ping dan Saravanathan. Syabas sekali lagi kepada semua yang terlibat.

Monday, March 8, 2010

Kursus Kepimpinan Gerakan Belia 4B Parlimen Bakri Bersama Pelajar STPM

Peserta bergambar kenangan bersama Dato' Saipolbahari, Pengarah JASA Johor dan jurulatih JASA Negeri Johor
Gambar kenangan bersama Pegawai Daerah Mersing Dato' Hj. Abdul Razak bin Hassan selepas daripada ceramah yang diberikan
Para peserta mengadakan tarian poco-poco
Bacaan tahlil yang dibawa oleh Hj Nizam Al Bakri dan kuliah maghrib yang disampaikan oleh En. Mardi Ngadino

Seramai 61 belia bersama pelajar STPM telah mengikuti Kursus Kepimpinan yang diadakan pada 5-7 Mac 2010 yang diadakan di Teluk Gorek, Mersing. Kursus selama 3 hari 2 malam diisi dengan jati diri pelajar Melayu, kepimpinan, kemahiran berkomunikasi, santapan rohani, tayangan kemerdekaan, berdebat dan kemahiran fizikal. Program yang bercorak santai tetapi penuh pengisian dilihat memberikan kesedaran kepada para peserta yang menyedari tentang pentingnya mempertahankan negara Malaysia.
Ceramah daripada Pegawai Daerah Mersing turut diberikan bagi memberikan suntikan semangat yang baru kepada para peserta yang dilihat pentingnya pegawai kerajaan yang mempunyai semangat dan tanggungjawab kepada keselamatan negara. Beliau turut menekankan soal perpaduan di kalangan masyarakat yang bermula pada diri sendiri agar negara tidak mudah dipermainkan oleh pihak luar. Para peserta ditekankan soal membuat inovasi dan kreatif dalam memaksimakan sumber alam negara yang banyak, jika dilihat pada ketika dulu sumber ekonomi negara seperti bijih timah telah dibawa ke Eropah memandangkan masyarakat ketika itu tidak mempunyai pengetahuan yang baik.

Di dalam majlis penutupan Dato’ Saipolbahari bin Hj. Suib selaku pimpinan Bakri turut menekankan soal jatidiri Melayu dan Islam agar ia dapat bertahan pada masa akan datang. Generasi muda adalah pewaris negara yang akan menyambung perjuangan pemimpin pada hari ini dan kita yang berhutang pada kerajaan mestilah membayar hutang tersebut kepada anak-anak generasi akan datang agar mereka juga menikmati apa yang kita nikmati.

Friday, February 26, 2010

MAJLIS SAMBUTAN PERAYAAN TAHUN BARU CINA








26 Feb 2010 - Sek. Tinggi Chung Hwa, lebih 1,500 orang telah hadir di dalam Majlis Jamuan Makan Malam Menyambut Perayaan Tahun Baru Cina anjuran Gabungan Persatuan-Persatuan Tiong Hwa Muar yang telah dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, YAB Dato' Hj. Abdul Ghani Othman. Turut mengiringi beliau isterinya iaitu YAD Prof. Datin Paduka Dr. Jamilah Arifin, Timbalan Menteri Belia Dan Sukan, Pengerusi Persatuan Tiong Hwa iaitu Dato' Ng Kok Hwa,Pegawai Daerah Muar, YDP Majlis Perbandaran Muar, Ketua Polis Daerah Muar, ADUN Bukit Naning, Ketua UMNO Bahagian Bakri, Ketua UMNO Bahagian Muar, Pengerusi JPMM DUN Bentayan, Pengerusi JPMM DUN Sungai Abong, Ketua MCA Bahagian Bakri, Ketua MCA Bahagian Muar dan ramai lagi yang mewakili persatuan Tiong Hwa termasuk keturunan Hokien, keturunan Hainan, keturunan Hokchiu, keturunan Kwongsai, keturunan Teo Chew, keturunan Hakka dan beberapa lagi keturunan termasuk ketua tokong,ketua penjaja, pengerusi SJKC Sing Hwa,Pengetua Chung Hwa High School.

Pertemuan ini adalah penting bagi menunjukkan sokongan masyarakat Cina terhadap kerajaan yang diikrarkan oleh Pengerusi Tiong Hwa, beliau berharap agar kerajaan akan lebih memantau projek-projek pembangunan yang dilihat menghadapi masalah, memastikan sikap kakitangan kerajaan yang turun ke padang, efisien dan komited, memohon tapak tanah untuk pembinaan replika tarian singa memandangkan pasukan tarian singa dan naga telah memenangi 32 kali kejohanan di peringkat antarabangsa.

YAB Menteri Besar juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM 650,000.00 bagi melaksanakan peromohonan yang diminta oleh masyarakat Tiong Hwa termasuk sekolah, persatuan penjaja, tokong dan diharapkan sokongan yang baik dan padu dapat diteruskan kepada kerajaan Barisan Nasional. Beliau juga membandingkan Daerah Muar dengan Daerah lain yang mempunyai keunikan tersendiri dengan masyarakatnya yang mempunyai persefahaman yang baik. Toleransi antara kaum amat penting sepertimana yang dibawa oleh Perdana Menteri dan hasilnya adalah kemajuan ekonomi negara yang bertambah pulih. Muar juga dikenali sebagai bandar pengeluar perabot terbesar di Malaysia dan mempunyai pasukan tarian singa dan naga yang dikenali.

Kehadiran Ahli Parlimen Bakri iaitu DAP hendak menyerahkan memorandum di dalam majlis makan tidak kesampaian apabila dihalang oleh pihak berkuasa memandangkan program tersebut adalah sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional.

SYABAS DAN TAHNIAH KEPADA KAUM TIONG HWA DAN HARAPANN YANG TINGGI UNTUK MEMASTIKAN KITA BERSAMA DI DALAM MEMENANGI PILIHANRAYA AKAN DATANG.

Wednesday, February 17, 2010

Dato' Chua Jui Meng Turun Ke Pasar Muar

17 Mac 2010 - Dato' Chua Jui Meng yang sebelum ini menjadi Ahli Parlimen Bakri selama 4 Penggal dalam kerusi Barisan Nasional telah keluar untuk menyertai PKR dan kini merupakan Ahli Majlis Tertinggi PKR. Alasan beliau menyertai PKR kerana perjuangan beliau sama dengan perjuangan yang dibawa oleh PKR.Pada jam 9.30 pagi semalam,Dato' Chua bersama rombongannya seramai 40 orang telah mengunjungi pasar awam Muar dengan membuka kaunter akhbar/info PKR, bersalaman, menyerahkan akhbar lidah rasmi Keadilan berbahasa Melayu dan Cina. Dato' Chua yang merupakan veteran lama MCA mempunyai hubungan yang mesra dan memang ia dikenali oleh seluruh masyarakat kerana jawatan beliau sebagai Menteri.

Beliau yang beramah mesra dengan peniaga dan orang awam yang membeli barang dikawasan tersebut turut diikuti oleh Hj. Kusni Simoh yang merupakan Pengerusi PKR Cabang Bakri serta Ketua Angkatan Muda Ledang (Arab), Ketua Angkatan Muda Muar (Anuar) dan beberapa lagi pengikut mereka yang berada di Kuala Lumpur. Walaupun orang mengenali Dato' Chua namun ada juga memandang sinis dengan kemasukkan Dato'Chua ke dalam PKR kerana tidak berterima kasih kepada BN malah wujud cakap-cakap dari peniaga setempat tak lama lagi akan ramai orang PKR yang akan keluar parti. Keluarnya Datuk Seri Zahrain telah menunjukkan bahawa PKR semakin runcing dan krisis dalaman ini sudah pastinya akan memberi kesan kepada PKR dan DAP. Sehingga Menteri Besar Kedah menyatakan janganlah sampai melarat ke Kedah dengan krisis yang berlaku iabarat sebuah rumah jira yang terbakar sudah pastinya mereka perlu bersiap sedia.

Majlis Penyerahan Ang Pau

8 Feb 2010 : Majlis penyerahan bantuan kepada orang miskin di Bukit Bakri bersama Ketua Masyarakat Bakri Barat iaitu En.Sia Ka Tuan telah dijalankan di Pejabat MCA Cawangan Bukit Bakri. Seramai 30 orang telah menerima sumbangan yang disampaikan oleh orang ramai bermula jalam 9.00 pagi sehingga jam 12.00 tengahari.

UMNO Bahagian Bakri menerusi wakilnya iaitu Tn.Hj. Rasid bin Hj. Suib telah menyampaikan beberapa kotak limau daripada Dato' Saipolbahari yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Bakri. Majlis berjalan dengan suasana tenang dan simpati dengan keadaan penerima yang dilihat kurang upaya. Termasuk orang tua, anak cacat dan ibu tunggal turut diberikan ang pau.

Sepanjang tinjauan saya, yang menariknya, penerima bantuan akan duduk sebaris dan dihadapan mereka ada kotak yang diisi dengan ang pau yang diberikan oleh dermawan. Namun sebelum itu, terdapat penyambut tetamu yang mengucapkan jutaan terima kasih kerana hadir dan mereka akan ke kaunter pendaftaran bagi memaklumkan berapakah jumlah sumbangan yang akan diberikan. Daripada kiraan pada hari tersebut, jumlah sumbangan yang diterima melebihi RM 20,000.00.

Mungkin kaedah ini boleh dicontohi oleh masyarakat Melayu.....

Friday, February 12, 2010

MAJLIS SAMBUTAN TAHUN BARU CINA

12 Feb 2010 jam 8.00 malam, satu Majlis Perasmian Menara Jam dan Sambutan Tahun Baru Cina anjuran bersama JKKK Bukit Bakri dan KRT Bukit Bakri telah diadakan. Seramai 250 orang telah hadir di dalam majlis tersebut. Antara pemimpin yang hadir adalah YB. Datuk Abdullah Ali (ADUN Bukit Naning), En. Sia Ka Tuan (Pengerusi JKKK Kampung Baru), En. Chris Lee Ching Yong (Pengerusi JPMM DUN Bentayan), Hj. Mohd Fuad Tukirin (Ketua Pemuda UMNO Bakri), En. Ali bin Tukiman (mewakili YDP MPM), En. Aridas (Pengerusi MIC Bakri), En. Rumsani Abd Rahman (Pegawai Perpaduan Muar), En. Lee Poh Ping (Ahli Majlis Perbandaran Muar) dan Mohd Radzi Amin (Pegawai JASA Daerah Muar.

Majlis dimulakan dengan persembahan gendang harimau bagi menerima acara sambutan daripada The Bakri Chinese Art Of Self Defence kemudian berjalan ke tapak perasmian jam besar yang terletak di selekoh jalan Bakri. Acara bunga api turut dijalankan dan diikuti dengan ucapan En. Sia Ka Tuan yang mengucapkan jutaan terima kasih atas kehadiran. Kemudian ucapan Chris, namun ketika Chris naik ke pentas, Ahli Parlimen Bakri iaitu Er Teck Hwa bersama kumpulannya sekitar 20 orang telah datang ke meja utama dan bersalaman dengan jemputan. Selepas itu beliau meminta tarian gendang harimau dimainkan untuknya dan selepas itu beliau naik ke pentas dengan menyerahkan sampul surat kepada Chris. Beliau dengan lagaknya yang tidak menghormati majlis orang dianggap pengacau yang kononnya ia buat kerja. Kemudian beliau bersama kumpulannya telah pergi ke tempat jam besar dengan memacak sign board Tapak Pelupusan Sampah dan menunjukkan kepada media tentang soalan yang dibawa ke Parlimen.

Majlis diteruskan dengan ucapan Chris dan di dalam ucapannya beliau menekankan isu tapak pelupusan sampah amat penting untuk ditangani, Ahli Parlimen Bakri mempunyai harapan yang tinggi untuk beliau menyelesaikan isu sampah ini. Kemudian majlis diteruskan dengan ucapan ADUN Bukit Naning yang menyatakan bahawa isu sampah telah diambil tindakan oleh pihak kerajaan. Pihak kerajaan amat peka untuk menangani masalah ini. Beliau sendiri telah bawa isu ini ke Dewan Negeri Johor ,Mesyuarat Tindakan Daerah dan Majlis Perbdandaran Muar. Tapak ini hanyalah sementara dan ia pasti akan dtutup,namun beliau meminta kepada penduduk agar bersabar seketika kerana tapak baru telah dikenalpasti namun ia memerlukan kajian daripada Jabatan Alam Sekitar untuk melihat kesannya di tapak pelupusan yang baru.

Daripada tindakan yang diambil oleh Ahli Parlimen Bakri telah menunjukkan beliau sendiri tidak berjaya menangani permasalahan sampah dan menyerahkan kepada Chris untuk menguruskan isu ini, ini menunjukkan seolah-olah berliau sendiri seperti menyerahkan mandat kepada Chris untuk menyelesaikan perakara ini. Jelas menunjukkan pembangkang tidakmampu melakukan apa-apa dalam menyelesaikan masalah rakyat, mereka hanya boleh bawa dan bercakap yang peranan itu boleh dimainkan oleh sesiapa sahaja jika diberikan jawatan wakil rakyat.