Wednesday, April 1, 2009

Beri Kepercayaan Kepada Datuk Najib Tun Abd. Razak

Peralihan kuasa pemimpin tertinggi UMNO antara Paklah dan Najib benar-benar menunjukkan keikhlasan Paklah untuk meletakkan jawatan. Paklah bukan sahaja seorang yang berjiwa lembut malah Paklah juga menepati janji dengan apa yang beliau lakukan. Setiap pemimpin ada lebih ada kurang kerana kita bukan maksum seperti pada anbiya.

Peralihan kuasa kepada Najib adalah satu yang bertepatan dan tidak dapat disangkal lagi. Suka atau tidak beliau akan diberikan amanah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam. Jika dilihat sistem pemerintahan negara kita adalah mana-mana parti yang menang majoriti maka parti itulah yang akan memerintah. Serupa juga dengan UMNO dan parti komponen lain yang bersatu di bawah BN memandangkan Najib adalah Pengerusi Barisan Nasional maka beliau dipilih sebagai Perdana Menteri. Hakikat ini akan menafikan Anwar Ibrahim yang mahu mengambil alih jawatan tersebut yang selama ini diidam-idamkan.


Kita beri peluang kepada Najib untuk memperbetulkan semula persepsi yang tidak baik terhadap negara dan kerajaan. Jika kita tidak beri peluang, kita tidak adil dan tidak peri kemanusiaan. Seseorang yang hendak dinilai gagal atau berjaya bukan kerana keturunannya tetapi kerana tindakan dan perlakuan yang diamalkan. Serupa juga dengan Najib, kita haruslah beri kepercayaan dan kita sendiri haruslah beri sokongan dan bersama-sama dalam merealisasikan harapan untuk menjadikan negara kita maju, rakyat yang hidup harmoni dan bersatu padu serta kemajuan ekonomi yang baik.


Gandingan Najib Mahyudin adalah rencah politik yang baik. Najib mempunyai kepakaran yang amat luas tentang politik, seorang yang setia kepada parti dan seorang yang berhati-hati sedangkan Mahyudin pula bukanlah seorang yang asing dalam bidang ekonomi, kepakaran beliau memakmurkan ekonomi negeri Johor sewaktu menjadi Menteri Besar dan kesungguhan beliau melaksanakan jawatan kabinet perlulah dilihat satu keupayaan tersendiri. Beliau yang berlatarbelakangkan agama yang baik memandangkan ayah beliau suatu ketika dulu adalah ulama besar di Muar.


Saya percaya, reformasi yang hendak dijalankan akan dapat dilakukan walaupun ada sedikit halangan. Kita berilah persepsi positif kepada pemimpin kita, ibaratlah pemimpin kita itu seperti bapa kita yang sedang berusaha memajukan kebahagiaan kita semua. Selamat Maju Jaya

No comments: