Tuesday, January 24, 2012

Selamat Tahun Baru Cina


Kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan Selamat Tahun Baru Cina, Gong Xi Fa Cai kepada rakan-rakan Chinese saya. Kita beruntung di bumi Malaysia ini, rakyat hidup penuh bersatu padu, mengamalkan toleransi yang baik,mempunyai sikap tolong menolong yang tinggi tanpa mengira jawatan dan tempat. Saya akui kemahiran dan kelebihan kaum Cina di Malaysia memberikan banyak manfaat kepada kaum yang lain.

Tidak rugi kaum cina berada di Malaysia kerana ia memberikan kebaikan kepada negara China dan begitu juga dengan kaum India bagi negara India. Kehebatan bumi Malaysia yang memiliki hasil masyhur, keindahan geografinya dan kepelbagaian budaya telah mengikat hubungan yang baik sesama kita.

Dalam kesempatan ini saya menyeru sikap buruk sangka, sikap merendahkan kaum lain dan sikap mementingkan kaum semata perlu dikikis, saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pemimpin terdahulu yang berjaya menyatukan kepelbagaian kaum dan seterusnya pemimpin terkini begitu teguh mempertahankan perpaduan sesama kita. Saya juga berharap pemimpin yang akan datang akan mencipta lebih banyak kekuatan dengan bersendikan kepelbagaian masyarakat yang mempunyai kekuatannya tersendiri.

Oleh itu sempena Tahun Naga ini saya percaya bagi kaum Muslim melihat sesuatu itu dengan penuh kebaikan dan berharap kita dapat menghasilkan sebuah negara yang penuh kebaikan untuk generasi yang akan datang.

Thursday, January 12, 2012

Tahun 2012 Tahun Cabaran Untuk BN dan PR

Tahun 2012 merupakan tahun yg amat penting bagi rakyat Malaysia menentukan masa hadapan negara dari sudut mandat memerintah negara. Jika dilihat tahun 2008 keadaan politik yang berlaku kucuk mengejutkan kedua belah pihak, ia dipanggil tsunami politik atau perubahan politik secara tiba-tiba. Pada tahun 2004 ia amat menggalakkan untuk Barisan Nasional kerana mempunyai prestasi yang sangat cemerlang jika dibandingkan pada PRU sebelumnya.

Namun pandangan penulis kali ini lebih menjurus pada keputusan PRU 13 kerana ia menentukan masa hadapan kelangsungan kedua-dua parti. Bagi UMNO dan BN amatlah mustahak untuk menentukan keputusan yang cemerlang pada pilihanraya kali ini, rekod tanpa kalah selama ini perlu dipertahankan, bukan sahaja mahu mendapat majoriti 2/3 malah kerusi negeri-negeri yang tumbang perlu diambil semula. Tempoh 4 tahun selepas dinafikan kemenangan 2/3 amat penting untuk jentera dan orang BN bermuhasabah dan bertindak mengikut kehendak akar umbi.Transformasi yang dibuat oleh Perdana Menteri sangat menakjubkan sehingga rakyat berpendapatan bawah RM 3,000 menikmati faedah terus. Bukanlah mudah untuk menguruskan penduduk malaysia yang menjangkau hampir 29 juta orang, namun kegigihan yang ditunjukkan oleh Najib dan jentera transformasinya perlu dipuji kerana landskap politik agar berubah. Najib menghadapi kesusahan kerana situasi yang diwarisi dalam keadaan yang membimbangkan. Namun kegigihan Najib harus diakui dan wajarlah jika beliau diberikan nama BAPA TRANSFORMASI. Namun tidak cukup Najib untuk berubah,paling mustahak adalah parti yang menjadi juara rakyat,inilah imej sebenar yang rakyat mahukan. Sifat buruk yang ditomah seperti politik wang, tidak turun padang, pilih bulu dan tidak prihatin perlu dikikis.Kali ini tunggul yang diletakkan tidak memihak lagi untuk BN.

Bagi PR pula, adalah diakui serangan bertali arus dan kegigihan pembangkang perlu dipuji. Usaha untuk menawan Putrajaya dengan apa jua sekalipun tetap diteruskan, strategi yang dimainkan oleh PR cukup ampuh dan bersatu, mereka tidak lagi menghiraukan peranan polis dan keputusan mahkamah, apa yang penting slogan RAKYAT MENJADI HAKIM sering terbit dibibir pemimpin mereka. Ceramah kecil dan besar sentiasa menjadi,sasaran yang dijangka kadangkala melebihi malah berduyun-duyun hadir. Penglibatan mahasiswa juga dikaitkan apabila Soladariti Mahasiswa Malaysia telah berani menurunkan bendera PM di PWTC dan membuat himpunan haram di UPSI pada jam 1.00 pagi. Namun PR menghadapi dilemanya sendiri iaitu tempoh sepenggal yang diberikan oleh mandat rakyat masih banyak yang belum tertunai malah janji baru untuk meyakinkan pengundi tetap dibuat. Isu pemecatan Hasan Ali,isu keluarnya sekutu kuat Anwar Ibrahim seperti Dato Nala, Chandra Muzafar, Ezam Md. Nor,Anwar Shaari dan pelbagai lagi pimpinan telah menolah Anwar Ibrahim.Terdapat juga pimpinan Ahli Parlimen yang keluar dan menyertai konsensus bebas seperti Datuk Seri Zahrin, Tang Te Beng, Datuk Zulkifli Nordin, Wong Meng Chu (Wangsa Maju).Isu makin parah apabila kes seks luar tabii dan akuan sumpah hubungan seks dengan pelacur Cina masih berterusan dan BN terus menerus menjadikan senjata untuk menyerang.

Namun apa yang penulis lihat, kali ini kedua-dua Parti akan bertempur habis-habisan di atas padang yang hampir rata dan penggunaan pemerhati antarabangsa akan diperluaskan sebagai tekanan kepada pilihanraya yang lebih adil dan bebas.

Monday, December 12, 2011

BELIA 4B MENYERAHKAN MEMORANDUM PADA HJ MD SABU


Tn Hj Mohamad bin Sabu selaku Timbalan Presiden PAS menerima memorandun dan menurunkan tandatangan ke atas memorandum tersebut. turut hadir Chegu Bard, Dato' Chua Jui Meng, YB Er teck Hwa, Yb Mohamad Taslim, Ketua Cabang PKR Muar, Ketua Cabang PKR bakri dan lain-lain pemimpin


Tn Hj Md Sabu dan Chegu Bard membenarkan saya berucap kira-kira 10 minit, namun provokasi dan celaan dari pembangkang semakin panas. Tapi saya tak kisah, kerana kita sama-sama profesional, dan pihak polis pun banyak membantu


Pihak polis dan penganjur iaitu unit amal memberikan perlindungan kepada saya untuk keluar dari tempat berceramah...alhamdulillah semuanya selamat kerana kita nakkan politik yg selamat iaitu kerajaan membela rakyat, kerajaan 1Malaysia...lain kali kalau nak ceramah boleh jemput lagi...

MEMORANDUM KEPADA HJ MD SABU

MEMORANDUM
KEPADA
YBHG. TN. HJ. MOHAMAD BIN SABU
TIMBALAN PRESIDEN PAS MALAYSIA

DARIPADA
GERAKAN BELIA 4B KAWASAN BAKRI

TARIKH : 11 DISEMBER 2011
TEMPAT : KG. PARIT NO. 3, JALAN YUSOF, MUAR JOHOR

1. PENDAHULUAN

Gerakan Belia 4B Kawasan Bakri dengan nombor pendaftaran PPPB: 01-11/1401 yang mempunyai 6 Cawangan dan keahlian seramai 457 orang anak muda merasakan kehadiran pimpinan tuan tidak diperlukan untuk kawasan ini. Ini kerana kawasan ini adalah penyokong kuat Barisan Nasional iaitu dengan merujuk keputusan PRU 11 dan PRU 12.

Perkara BN PKR
PRU 11 652 (68.71 %) 181 (27.76 %)
PRU 12 617 (67.42%) 182 (29.50 %)

Tuan juga perlu tahu bahawa sokongan PR di Bakri bukan kerana pengundi Melayu tetapi adalah pengundi Cina di kawasan Bandar. Oleh itu Gerakan Belia 4B Kawasan Bakri melihat tidak ada keperluan tuan untuk hadir ke kawasan ini kerana majoriti adalah melayu dan kawasan yang tuan hadiri ini adalah kubu kuat BN.

2. INTI PATI

Kami melihat tindak tanduk tuan selama ini berceramah di kawasan Bakri khususnya di Markaz PAS Jeram Masjid. Oleh itu beberapa perkara yang ingin kami sentuh iaitu :



2.1 Mengeluarkan kata-kata kesat dan tidak berhikmah
Dalam ceramah tuan, tuan banyak mengeluarkan kata-kata herdikan dan cacian kepada pemimpin UMNO yang merupakan satu bangsa dan satu agama dengan tuan. Tindakan tuan ini menunjukkan imej yang tidak baik untuk belia dan tidak boleh kami mencontohi imej tuan. Perkataan haprak, celaka dan sial yang tuan keluarkan perkataan yang tidak wajar sebagai pemimpin. Oleh itu kami tidak dapat menganggap tuan sebagai model kami.

2.2 Mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan rakyat
Tindakan tuan yang meminta agar memasukkan tokoh-tokoh lain ke dalam sejarah menurut tuan seperti Mohamad Indera adalah sesuatu yang mengelirukan. Tuan memutarkan sejarah dengan menganggap beliau tokoh yang mana beliau telah berjuang menentang polis Bukit Kepong. Pembunuhan polis Bukit Kepong adalah sesuatu yang sensitif yang tuan tidak hiraukan. Tuan sewajarnya lebih berhati-hati kerana kami di Malaysia tidak menyukai parti komunis.

2.3 Mewujudkan kerenggangan antara belia
Tuan memberikan kenyataan yang menjurus kepada kerenggangan kami sebagai belia sehingga kumpulan belia tidak bersatu apabila bercakap soal politik. Di dalam facebook mahupun media alternatif yang lain kami terpaksa membuang masa untuk bertengkar apabila tuan memberikan kenyataan yang mewujudkan ketegangan dengan pihak kerajaan. Tindakan ini mengundang masalah dan kami mewarisi pergaduhan tuan dengan pihak kerajaan.

3. PENUTUP

Oleh yang demikian, demi menghormati perpaduan dan kesejahteraan kampung ini, tuan hendaklah bersetuju untuk tidak perlu hadir ke kawasan Bakri bagi menjaga keamanan dan kesejahteraan yang kami kecapi selama ini. Pihak kami mengharapkan tuan lebih fokus kepada kawasan yang PR menangi bukan di Johor.

Semoga memorandum ini akan memberi kesan kepada tuan.

Daripada :



Mohd Radzi bin Hj. Amin
Pengerusi
Gerakan Belia 4B Kawasan Bakri

Thursday, November 24, 2011

Rasional Mahasiswa Dibenarkan Politik

Keputusan YAB Perdana Menteri meminda AUKU Perkara 15 dengan membenarkan mahasiswa dibenarkan berpolitik adalah satu keputusan yang berani untuk membenarkan mahasiswa yang berusia 21 tahun ke atas untuk berpolitik. Ini akan menjadikan mahasiswa akan lebih kreatif berdaya saing dan mampu berfikir lebih jauh berbanding keadaan sedia ada.

Namun apa yang saya nak sentuh adalah mahasiswa perlulah mengetahui core bussines sebenarnya. Belajar sehingga tamat dan mendapat ijazah adalah satu keutamaan asal yang diharapkan oleh ibu bapa dan keluarga serta masyarakat. Pengalaman sebagai siswa saya akui bukan semua orang mempunyai minat dalam politik malah boleh saya anggarkan 70 % tidak kisah tentang politik di peringkiat kampus.Mereka mengundi calon yang bertanding bukanlah mengetahui siapa orang tersebut malah hanya kerana terikut dengan kawan-kawan. Namun semangat politik di luar kampus memang mempengaruhi senario politik didalam kampus.

Saya berpandangan adalah wajar mahasiswa yang berpolitik perlu mengetahui batasnya, perjuangan yang nak dibuat adalah untuk kemajuan negara bukanlah untuk agenda politik kumpulan tertentu. Tidak boleh hipokrit dalam perjuangan dan penuh kejujuran serta keikhlasan demi kebaikan agama bangsa dan negara.

LAWATAN YAB MENTERI BESAR JOHOR BAKRI

Selamat datang kepada YAB Menteri Besar Johor ke Bakri pada 6,9-10 Disember 2011,lawatan yang cukup bermakna untuk masyarakat dan pimpinan Bakri. Banyak isu yang perlu dirungkaikan dan inilah bukti keprihatinan kerajaan dalam menyelesaikan isu-isu yang tertunggak. Lawatan YAB Menteri Besar akan diiringi dengan exco kerajaan Johor, ketua-ketua jabatan peringkat negeri dan pimpinan di peringkat Bahagian serta daerah mengundi.

Diharapkan pertemuan ini akan memberi manfaat kepada penduduk di Bakri bagi menterjemahkan maksud ini ayuhlah dapat bersama-sama dalam program yang dirancangkan.

Thursday, November 10, 2011

MUAR MEMERLUKAN MUZIUM

Sebagai anak jati Muar, saya melihat sudah tiba masanya Daerah Muar memerlukan sebuah muzium bagi menghimpunkan semua khazanah sejarah sejak mulanya pembukaan Daerah Muar sehinggalah kini iaitu sejarah Muar moden. Daerah Muar memang kaya dengan sejarahnya, jika rujuk pada buku sejarah Malaysia sudah pasti Daerah mana mana Daerah utama Muar tidak akan ditinggalkan malah banyak lagi sejarah Muar yang perlu dimuatkan.

Saya percaya penduduk Muar amat bersetuju malah penduduk negeri Johor turut mengakui pentingnya Muzium Muar dibina, malah saya menggalakkan mana mana Daerah utama negeri Johor turut membinanya agar menjadi tanda ingatan untuk generasi muda.

Sebagai pengerusi Gerakan Belia 4B kawasan Bakri saya akan berusaha untuk menggunakan ngo ini bagi memastikan kewujudan muzium.