Monday, February 20, 2017

PENAMATAN JAWATAN KETUA PENERANGAN DAN PELANTIKAN JAWATANKUASA BAHAGIAN DAN BIRO PERLEMBAGAAN

Alhamdulillah syukur pada Nya kerana diberikan satu keputusan yang sebaiknya untuk diri saya iaitu menamatkan jawatan KKetua Penerangan yang saya pegang selama tiga tahun dan dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bakri dan Pengerusi Biro Perlembagaan UMNO Bahagian Bakri berkuatkuasa 12 Februari 2017 di bawah kepimpinan YH Dato' Hj Hassan Hj Johari.

Sebagai pejuang parti saya tidak kisah di mana saya berada, perjuangan tidak memerlukan tempat yang tinggi. Sesetengah orang perlu kuasa yang lebih untuk melakukan sesuatu yang lebih sedangkan yang kecil masih tidak mampu dilakukannya. Apa yang penting keikhlasan dalam perjuangan dan mencari redha Allah dalam perjuangan perlu ditanamkan setiap masa.

Insya Allah moga kita termasuk golongan yang menyedari perjuangan yang ikhlas dan mentaati apa yang dimaktubkan dalam perlembagaan parti.

Salam takzim dari saya. Selamat maju jaya dan bertabahlah dalam perjuangan.

Tuesday, December 22, 2015

SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH

As salam wbkth, kepada semua teman pembaca yang saya hormati. Saya mendapat luahan hati oleh seorang bapa yang bekerja kerajaan manakala isteri hanya membuat kuih dan mempunyai 4 orang cahaya mata yang masih bersekolah di sekolah menengah dan sekolah rendah. Beliau meluahkan rasa kesal dalam memikirkan ibu bapa yang terpaksa menanggung kos pembukaan sekolah baru. Kesusahan yang dialami lalu membandingkan dengan Pak Menteri yang sudah pastinya tidak menjadi masalah dalam menghadapi anak yang bersekolah.

Luahan ini ada benarnya, sekali pandang memang tepat dengan keadaan masa kini yang mana kos sara hidup memang satu cabaran yang terpaksa dilalui oleh setiap orang apatah lagi ibu bapa yang mempunyai tanggungjawab terhadap anaknya yang masih bersekolah.

Dalam hal ini saya ingin berkongsi dengan pembaca budiman tips kita menghadapi hari pembukaan sekolah agar tidak terbeban dengan kos yang terpaksa kita tanggung.

1. Buat tabungan anak bermula bulan Januari sehingga Disember iaitu duit jajan dan duit raya dikumpulkan dalam satu tabung anak

2. Beli barangan seperti beg dan kasut yang tahan lama seperti jenama bata agar dapat digunakan pada tahun hadapan atau adik adiknya

3. Elakkan beli permainan anak yang tidak menguntungkan seperti toy, permainan mudah rosak atau yang mahal semasa berduit

4.  Gunakan waktu cuti sekolah untuk dapatkan duit tambahan seperti menjual makanan, kuih, air dan sebagainya untuk menampung kos sara hidup

5. Sifat berjimat cermat mampu untuk mengurangkan bebanan hidup yang sentiasa meningkat walaupun bertukar kerajaan

Apa yang kerajaan lakukan pada hari ini.

1. Bagi mengurangkan  beban kos pengajian anak anak mala yuran persekolahan dihapuskan kecuali yuran pibg

2. Anak-anak diberikan baucar Buku sebanyak RM 100 seorang

3. Makanan berkhasiat untuk anak yg ibu bapanya berpendapatan rendah akan diberikan

4. Kerajaan mengurangkan beban buku dengan pembelajaran secara media baru

5. Kerajaan melalui agensi dan parti politik berusaha untuk mengadakan program bantuan kembali ke sekolah (namun ia jadi kekangan apabila hanya mereka yg layak sahaja diberikan)

Penulisan ini hanya pandangan penulis dan masih belum lengkap dan boleh dibahaskan. Penulis tiada masalah untuk menerima pandangan saudara pembaca jika ada perkara yang boleh diperbetulkan.

Walau bagaimana pun penulis ingin mengucapkan selamat kembali ke sekolah dan semoga zaman persekolahan yang akan datang dapat dimanfaatkan sebaik baiknya.  Sabar atas apa yg berlaku, berusaha untuk mengatasi permasalahan  dengan sebaiknya dan hikmah. Jika kita susah ada lagi yg susah dan jangan kita bandingkan kita dengan orang di atas kita tapi kita bandingkan dengan orang yang berada di bawah kita.


Selamat kembali ke sekolah ....

Sunday, February 8, 2015

PELAN SUARA HATI JOHOR



Assalamualaikum dan salam muafakat Johor kepada semua pembaca. Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan Negeri Johor pimpinan YAB Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang telah membawa Johor ke satu tahap yang lebih baik menerusi kesinambungan pemimpin terdahulu. Usaha mewujudkan satu program yang mendekati rakyat iaitu Pelan Suara Hati Johor adalah usaha yang dinanti-nantikan oleh rakyat jelata. Ini memperlihatkan kerajaan yang diterajui oleh BN adalah sebuah kerajaan yang prihatin dan mendekati rakyat. Konsep merakyatkan kerajaan Johor telah menampakkan bahawa kerajaan tidak bertindak sebagai aktor dominan malah buah fikiran setiap rakyat yang diluahkan menerusi media sosial turut diambilkira dalam menjadikan sebuah negeri yang berjaya, selamat, harmoni, sejahtera dan mempunyai wawasan untuk dicapai.

Transformasi yang dilakukan oleh kerajaan Johor adalah bersesuaian dengan era dan perubahan yang berlaku. Ini secara tidak langsung menjadikan Johor sebuah kerajaan yang dinamik dan berjaya. Usaha kerajaan dalam membina rumah mampu milik, menambahkan jumlah rezab tanah Melayu yang berganda dan membaiki segala kemudahan awam boleh dianggap sebagai usaha yang menepati sasaran dan mendekati rakyat. Ini kerana rakyat hanya mahukan kehidupan yang sejahtera dan selamat bersesuaian dengan nama Johor itu sendiri.

Syabas dan tahniah kepada kerajaan Johor yang tidak berhenti menjuarai isi hati rakyat dan dapat meminimakan permasalahan rakyat. Saya juga berdoa agar pemimpin Johor, pentadbir Johor dan rakyat Johor sentiasa beristiqamah dalam mencari kebahagian dan kejayaan hidup bagi mewariskan kepada generasi seterusnya.

Sekian terima kasih.

PERLANTIKAN SEBAGAI KETUA PENERANGAN UMNO BAHAGIAN BAKRI

As salam dan salam sejahtera kepada semua rakan-rakan. Pertamanya saya ingin memanjatkan rasa syukur kepada Allah SWT atas limpah dan kasih Nya kita dapat meneruskan kehidupan di bumi yang bertuah ini. Semoga negara dan pemimpin kita akan dirahmati Allah dan kita semua berada dalam keadaan yang selamat.

Pada 13 Mei 2014 saya telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bakri bagi sesi 2013 -2016. Perlantikan ini satu penghormatan dan kepercayaan yang begitu tinggi kepada diri saya menerusi Tn Hj Hassan bin Hj Johari selaku Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bakri. Sebagai Ketua Penerangan yang baru dalam usia 36 tahun, ia dianggap sebagai usia yang muda dalam menggerakkan aktiviti penerangan di peringkat Bahagian. Dengan beberapa pengalaman yang ada iaitu pernah menjadi Pegawai Khas Datuk Dr. Haris Salleh (Ketua UMNO Bakri sesi 2001 - 2004), Pegawai Khas Datuk Abdullah bin Md. Ali (Ketua UMNO Bakri sesi 2004 - 2008), Setiausaha Pemuda UMNO Bakri sesi 2004 - 2008, AJK Pemuda UMNO Bakri sesi 2008 - 2013, dan AJK Bahagian lantikan Dato' Seri Saipolbahari bin Hj Suib pada 2013 akan digunakan bagi memperkukuhkan parti UMNO di Bahagian Bakri.

Dengan menduduki jawatan sebagai Ketua Penerangan UMNO Bakri ia bukanlah suatu perkara yang muda. Ini kerana ia perlu bertindak untuk menjaga 128 cawangan dan kawasan yang dimenangi parti DAP bagi Parlimen Bakri. Oleh itu saya berharap kepada semua pimpinan dan jawatankuasa Bahagian, Wanita, Pemuda, Puteri, PDM dan Cawangan agar dapat bersatu hati dalam menawan semula kerusi yang tertewas pada PRU 12 dan PRU 13. Saya juga mengharapkan teguran dan nasihat membina dalam meneruskan perjuangan ini yang merupakan amanah kepada generasi selepas saya.

Terima kasih kepada Tn  Hj Hassan Johari atas perlantikan ini dan kerjasama daripada Peneragan Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor dan Datuk Ahmad bin Maslan yang merupakan Ketua Penerangan UMNO Malaysia.

Salam perjuangan dan salam muafakat Johor.

Tuesday, March 18, 2014

PERANAN AKTOR BUKAN NEGARA JUGA PENTING DALAM PROSES PEMBENTUKAN DASAR LUAR MALAYSIA

Hari ini 18.3.14 saya akan bentangkan proposal PHD saya di Dewan Seminar Kolej Undang-Undang, Kerajaan Dan Antarabangsa UUM jam 3.00 petang. Tajuk tesis PHD saya adalah Neoklasikal Realisme Dalam Proses Pembentukan Dasar Luar Malaysia Terhadap Amerika Syarikat.

Di dalam kajian ini, saya telah menemui kelompangan atau gap yang berlaku dalam bidang hubungan antarabangsa di negara Malaysia. Dengan menggunakan teori NCR yang dipelopori oleh William Wohlforth (1993), Thomas Christensen (1996), Alastair J.H. Murray (1997), Randal Schweller (1998) dan Fareed Zakaria (1998) maka saya melihat aktor bukan negara tidak dikaji secara teratur dan sistematik. Kemunculan teori realisme dalam bidang antarabangsa yang merupakan teori perdana telah membawa kepada kemunculan teori neorelisme dan seterusnya neoklasikal realisme.

Mengapa saya memilih tajuk ini ? Ini kerana masyarakat melihat proses dasar luar hanya ditentukan oleh kerajaan semata seperti Kementerian Luar dan Wisma Putra yang merupakan aktor negara. Namun saya menghujahkan sebaliknya iaitu aktor bukan negara juga berperanan dalam proses pembentukan dasar luar Malaysia. Saya memilik 3 elemen penting yang merupakan Intervening Variable iaitu parti, NGO dan individu berpengaruh. Bagi meluaskan kajian ini makan saya memilih 3 parti utama Melayu di negara iaitu UMNO, PAS dan PKR. Mengapa saya memilih 3 parti sahaja ? Ini kerana hanya parti Melayu sahaja yang dibenarkan memimpin Malaysia sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Bagi NGO yang saya pilih adalah ABIM dan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu yang aktif dalam isu antarabangsa. Manakala individu berpengaruh saya akan menemubual Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Syed Hamid Albar yang merupakan individu yang tidak mempunyai jawatan dalam kerajaan namun mempunyai pandangan yang boleh memberikan kesan ke atas proses pembentukan dasar luar Malaysia. Mengapa saya memilih Amerika Syarikat ? Ini kerana ia merupakan kuasa besar yang mana Malaysia masih memerlukan Amerika Syarikat dalam perlbagai bidang. 

Sepertimana kajian sebelum ini di peringkat Master yang saya lakukan di UKM, kali ini saya akan mengembangkan semula kajian saya. Di peringkat Master tajuk tesis saya adalah Politik Dalaman Dan Dasar Luar Malaysia Terhadap Amerika Syarikat : Perspektif Elit UMNO, PAS dan PKR yang telah diselia oleh Prof. Madya Dr. Kuik Cheng Chwee yang kini berada di Oxford UK dan US bagi melengkapkan Post Doc. Di peringkat PHD ini, saya akan diselia oleh Prof. Dr. Kamarulnizam Abdullah yang merupakan ahli Majlis Profesor Negara dalam bidang hubungan antarabangsa. Semoga kajian ini akan menambahkan lagi ilmu pengetahuan di negara kita dalam bidang hubungan antarabangsa dan menjadi rujukan pada rakyat di negara ini.

Monday, March 17, 2014

PERLUCUTAN JAWATAN TIDAK MEMATAHKAN SEMANGAT PERJUANGAN

Salam takzim buat anda semuanya... Isu berkaitan penggantungan YB. Dato' Seri Hj. Saipobahari sebagai Ketua UMNO Bahagian Bakri telah membawa kepada perlucutan jawatan saya sebagai AJK UMNO Bahagian Bakri yang dilantik. Perlucutan ini diambil tidak sampai 2 hari sewaktu perlantikan Tn. Hj. Hassan Johari selaku Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bakri untuk memangku jawatan Ketua UMNO Bahagian Bakri. Ini merupakan pengalaman yang cukup berharga bagi diri saya yang baru sahaja dilantik untuk memegang jawatan tersebut.

Perlucutan ini tidak membawa kesan yang buruk pada diri saya. Ini kerana saya yakin kepada prinspi perjuangan yang ikhlas dan baik sepertimana yang saya tekankan kepada rakan-rakan seperjuangan. Kita kena lihat dari luar dalam membuat penelitian yang lebih adil. Kita kena rasional dan tenang dan berbalik kepada prinsip perjuangan yang baik. Saya menganggap perlucutan ini banyak hikmah bagi diri saya. Paling penting kita dapat belajar selok belok politik dan pengalaman ini mematangkan diri kita supaya kita akan bertindak lebih baik pada masa mendatang. Saya kira dengan perlucutan ini juga ia akan memudahkan kerja-kerja dan urusan pentadbiran kepimpinan yang ada. Sememangnya saya tidak mempunyai masaalah dengan Pemangku yang ada, malah prinsip perjuangan asas iaitu "akur siapa ketua", "menghormati pemimpin yang lebih lama" dan menjunjung asas perlembagaan parti UMNO telah menjadi penyuntik semangat bagi diri saya. Dengan keadaan seperti ini juga, penumpuan saya untuk menumpukan pengajian di peringkat PHD akan lebih terurus.

Di dalam kesempatan ini juga, saya menyeru kepada semua ahli UMNO di Bahagian Bakri, hendaklah bersatu padu, pepatah Melayu "biduk berlalu kiambang bertaut" mestilah disematkan dalam diri. Kita sebagai satu kumpulan mestilah berpegang pada satu ketua dan kita sebagai ahli berhak menasihati jika kepimpinan itu tidak betul pada tapak sebenarnya. Oleh itu, saya mengharapkan rakan-rakan dalam parti, sama-samalah kita bekerjasama dalam memenangi PRU 14 pada masa akan datang. Jika kita percaya parti UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu, kita tanamkan sikap berbaik sangka, bersatu padu, tolong menolong dan ikhlas dalam perjuangan.

Sekian terima kasih dan salam takzim dari saya.....UUM Kedah...

Friday, January 17, 2014

Perlantikan Sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bakri

Pertamanya marilah kita memanjatkan rasa syukur kepada Allah SWT atas izin-Nya kita masih lagi dapat melakukan kerja-kerja seharian dengan sebaiknya. Semoga apa yang kita lakukan mendapat keberkatan dan kebaikan dari-Nya untuk manfaat perjuangan agama, bangsa dan negara.

Pada tarikh 16 Januari 2014 jam 8.30 malam saya telah mengangkat sumpah bersama barisan AJK UMNO Bahagian Bakri sesi 2013-2016. Ini merupakan kali pertama perlantikan yang saya terima daripada Ketua UMNO Bahagian Bakri iaitu YB. Dato' Seri Hj. Saipolbahari bin Hj. Suib. Atas dasar perlantikan ini saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Ketua UMNO Bahagian Bakri yang telah memilih saya untuk sama-sama berjuang dalam agenda UMNO Bahagian Bakri iaitu memastikan kemenangan Barisan Nasional pada PRU 14.

Bukanlah satu perkara yang mudah dengan amanah yang diberikan, ini kerana saya merupakan AJK yang paling muda berbanding dengan pimpinan yang lain dan tanggungjawab saya dalam menamatkan pengajian di peringkat Phd. Oleh itu saya memohon petunjuk daripada Allah SWT agar mempermudahkan urusan yang saya lalui dan memohon jasabaik dari semua rakan-rakan untuk bersama-sama berganding bahu untuk kebaikan bersama.

Terima kasih atas sokongan dan bantuan yang diberikan. Jazakumullah.