Saturday, July 6, 2013

PERUBAHAN UMNO KINI PENTING UNTUK MASA HADAPAN

Tidak lama lagi UMNO akan menghadapi pemilihan yang amat penting bagi menentukan masa hadapan parti tertua di dunia ini. Mengapa saya kata amat penting, ini kerana parti BN telah mengalami kekalahan yang paling teruk pada PRU 13 yang mana UMNO adalah tunjangnya. Masa hadapan UMNO dilihat amat berkait dengan masa hadapan dan corak Malaysia. Harus diingat parti UMNO merupakan pounch box kepada mereka yang tidak senang dengan kejayaan dan pencapaian yang dimiliki.

Saya melihat kepada 3 kumpulan di Malaysia yang melihat parti UMNO. Pertama mereka yang betul-betul duduk di dalam parti UMNO, memperjuangkan parti UMNO sebagai parti Melayu dan Islam. Mereka ini duduk dalam pelbagai lapangan, baik dari segi akademik, teknokrat, peniaga, ilmuan agama, politik, sosial dan pelbagai lagi. Mereka ini ada yang duduk berjawatan dalam parti dan ada yang duduk di luar. Golongan ini merupakan golongan yang amat penting dalam survival UMNO. Mereka yang dilahirkan dalam keluarga UMNO yang mana perjuangan Melayu dan Islam amat sinonim dengan dirinya.

Golongan kedua saya melihat kepada mereka yang terus menolak UMNO. Mereka ini dilahirkan di luar UMNO atau mereka yang kecewa, marah dan gagal dalam parti UMNO. Mereka ini sangat penting untuk menjadikan parti UMNO terus kekal. Mereka jelas menolak UMNO dengan alasan agama, keadilan, kezaliman dan sebagainya. Golongan ini dianggap sebagai pesaing utama dalam UMNO dan melihat UMNO begitu jijik dan haram. Golongan ini mempunyai pendekatan yang berlainan dengan parti UMNO. Kumpulan ini dilihat tidak memperjuangkan Melayu dengan lebih jelas namun tertumpu kepada agenda agama dan kesaksamaan. Harus diingat golongan ini semakin mendapat tempat jika pemimpin UMNO tidak mahu berubah.

Golongan ketiga adalah golongan berkecuali, ia tidak memihak kepada mana-mana, mereka yang mementingkan pada pencapaian diri sendiri. Mereka ini dilahirkan dalam suasana yang lebih terbuka. Mereka bukan tidak ada pendirian, tetapi pendirian mereka lebih terbuka. Golongan in lebih ramai jika dibandingkan dengan 2 golongan di atas. Golongan ini amat penting untuk ditarik oleh kedua pihak di atas. Golongan ini juga membuat keputusan pada saat akhir dengan melihat kepada penawaran yang diberikan oleh kedua pihak, melihat kepada permasalahan diri sendiri. Golongan ini perlu direbut dan diberikan tumpuan. Inilah golongan yang dipanggil atas pagar dalam parti politik. Mereka yang dilhahirkan kerana mahu memikirkan soal kerjaya. Mungkin juga golongan ini tidak didekati kerana mereka tidak mahu mengambil risiko dengan berbaik dengan 2 golongan di atas. Namun jika parti UMNO bijak menyesuaikan dirinya, maka golongan ini boleh beralih mengikuti UMNO.

Mengapa UMNO perlu berubah ?

UMNO perlu berubah dari segi kepimpinan iaitu tidak hanya melahirkan golongan koperat semata. Ia perlu memperbanyakkan golongan ilmuan, golongan agama, golongan sosial dan mereka yang ikhlas untuk berjuang. Bagaimana untuk membawa masuk golongan ini. Golongan ini boleh dibawa masuk menerusi perlantikan jawatan atau memegang mana-mana jawatan di dalam bahagian. Memasukkan golongan ini perlu dilihat secara terbuka. Menentukan kedudukan mereka di dalam parti juga penting untuk melihat mereka duduk bersama-sama dalam parti UMNO. Pada ketika ini UMNO dilihat sebuah parti yang mempunyai kemewahan, bersifat elit, tidak mementingkan soal pembangunan kerohanian dan tidak mendasar kepada perjuangan Melayu yang sebenar. Pejuang UMNO perlu meletakkan kepentingan Melayu dan Islam dihadapan jika dibandingkan kepada perjuangan projek. Golongan yang dibawa masuk ini perlu adil, mereka tidak boleh dibawa masuk dengan tangan kosong, mereka perlu diberikan tempat dalam apa jua bidang yang membolehkan mereka survive. Ini adalah wajar dan penting dengan suasana masakini yang telah berubah kepada ekonomi kapitalis. Ini bermakna perubahan ini bukan sahaja dilakukan oleh presiden parti namun kepada ketua UMNO Bahagian. Namun penegasan presiden UMNO adalah penting bagi memperlihatkan mereka benar-benar diperlukan dalam parti UMNO.